in

“Gaji RM5,000 Di KL Tak Sama Dengan Kelantan” – Kerajaan Pertimbang Sistem Baharu Ganti B40, M40 & T20

Ana Sr 5

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Korang pernah terfikir tak, kalau dua keluarga masing-masing bergaji RM5,000 sebulan, adakah kehidupan mereka semestinya sama?

Hakikatnya, keluarga yang tinggal di Kuala Lumpur mungkin berdepan kos kehidupan yang jauh berbeza berbanding keluarga yang menetap di Bachok, Kelantan. Walaupun pendapatan bulanan mereka sama, perbelanjaan untuk keperluan harian boleh jadi tidak serupa.


Perbezaan inilah antara perkara yang diberi perhatian kerajaan dalam usaha memperhalusi kaedah pengelasan isi rumah, khususnya bagi menentukan bantuan yang lebih bersesuaian dengan keadaan sebenar rakyat.

Malah, menerusi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan bahawa kerajaan sedang menimbang pendekatan Pendapatan Boleh Guna Bersih atau Net Disposable Income (NDI) bagi menggantikan pengelasan B40, M40 dan T20 yang selama ini berasaskan pendapatan kasar.

Beliau berkata pendekatan ini bertujuan mengambil kira kos sara hidup sebenar supaya penilaian terhadap keadaan kewangan isi rumah tidak hanya bergantung kepada pendapatan kasar.

“Kerajaan sedang menimbang pendekatan Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI) bagi menggantikan pengelasan B40, M40 dan T20 yang berasaskan pendapatan kasar, supaya bantuan mengambil kira kos sara hidup sebenar. Ini bermakna, isi rumah berpendapatan RM5,000 di Lembah Klang tidak akan disamakan dengan isi rumah berpendapatan sama di Kelantan.”

Kos Sara Hidup KL dan Bachok Berbeza Lebih RM3,500 Sebulan

Beliau berkata untuk menggambarkan perbezaan kos kehidupan mengikut lokasi, kerajaan merujuk kepada indikator Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang dibangunkan bagi mengukur keperluan asas isi rumah.

Menurutnya, berdasarkan angka yang dikongsikan, PAKW di Kuala Lumpur adalah sebanyak RM7,043 sebulan, manakala di Bachok, Kelantan pula RM3,510 sebulan.

Ini bermakna terdapat perbezaan sebanyak RM3,533 antara kedua-dua kawasan tersebut.

“Kerajaan bukan sahaja bertindak, kita juga memperhalusi cara mengukur. DOSM telah membangunkan Indikator Kos Sara Hidup (IKSH) yang dipecahkan mengikut negeri, kawasan dan kumpulan pendapatan. Kerajaan juga memperkenalkan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) sebagai contoh, RM7,043 sebulan di Kuala Lumpur berbanding RM3,510 di Bachok, Kelantan.”

Secara mudahnya, kerajaan mahu mengambil kira perbezaan keperluan dan kos kehidupan rakyat mengikut keadaan masing-masing.

Ini juga bermakna isi rumah yang memperoleh pendapatan RM5,000 di Lembah Klang tidak semestinya disamakan dengan isi rumah yang menerima pendapatan sama di Kelantan.

Pengelasan Isi Rumah Juga Boleh Diperincikan Kepada Lebih Banyak Kategori

Akmal Nasrullah berkata kerajaan sedang menimbang pendekatan NDI bagi menggantikan pengelasan B40, M40 dan T20 yang berasaskan pendapatan kasar, supaya bantuan mengambil kira kos sara hidup sebenar. 

Beliau berkata, langkah ini dilihat sebagai usaha untuk memperhalusi penilaian isi rumah supaya perbezaan kedudukan ekonomi rakyat dapat dikenal pasti dengan lebih terperinci.

“Bagaimanapun, penting untuk difahami bahawa penggunaan NDI sebagai pengganti B40, M40 dan T20 masih dalam peringkat pertimbangan kerajaan dan belum diumumkan sebagai sistem baharu yang telah dilaksanakan.”

Apa-apa pun, perbincangan ini membuka persoalan adakah pendapatan bulanan sahaja sudah cukup untuk menentukan tahap kemampuan seseorang, sedangkan kos kehidupan setiap kawasan tidak sama?

Sumber: Teks Penggulungan Perbahasan Belanjawan 2027 Peringkat Dasar

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.