Jika anda lahir pada tahun 90-an, pasti anda pernah tonton atau tahu akan siri anime yang bertajuk Yu-Gi-Oh. Anime ini berkisarkan tentang Yugi Muto dalam menyelesaikan misteri sebuah artifak mesir yang dikenali sebagai Millennium Puzzle.
Baru-baru ini, mahkamah di China telah membatalkan sebuah acara lelongan selepas menerima bidaan yang tidak dijangka melebihi RM55 juta untuk sebuah kad Yu-Gi-Oh edisi terhad.
Menurut sumber, kad Blue-Eyes White Dragon tersebut adalah kad edisi khas sempena ulang tahun ke-20 permainan kad ini. Difahamkan, hanya 500 kad sahaja yang dikeluarkan pada tahun 2019, jadi ia menerima permintaan yang sangat tinggi daripada peminat Yu-Gi-Oh.
Bagaimanapun, kad edisi terhad tersebut dianggarkan bernilai di antara RM128 sehingga RM29,633, manakala jumlah lelongan pula mencecah sehingga RM55 juta. Perbezaan harga yang ketara ini membuatkan sesi lelongan tersebut dihentikan.
“Harga yang ditawarkan tidak konsisten dengan harga penawaran sebenar, dan disyaki berlakunya penipuan”, terang wakil Alibaba Group kepada sumber.
Untuk rekod, kad tersebut sebelum ini dimiliki oleh Zhang Yujie, individu yang pernah ditangkap pada tahun lepas kerana menyeleweng dana kerajaan.
Kredit: SCMP
BACA: Imbas Kembali, Ini 5 Anime Yang Bakal Buat Anda Rindu Zaman Kanak-Kanak