“An architect’s dream is an engineer’s nightmare”
Ungkapan dari arkitek terkenal German, Walter Gropius ini sering disebut-sebut jika kita ternampak bangunan yang unik rekaannya. Sedang para arkitek mengeluarkan sisi kreatif mereka dalam rekaan sesuatu bangunan, jurutera pula terpaksa berhempas-pulas dan memerah keringat untuk merealisasikan idea itu.
Digelar sebagai bangunan Lego, kondominium mewah yang diberi nama The Interlace ini pastinya menjadi mimpi ngeri buat para jurutera.
The Interlace adalah satu seni bina yang dianggap sebagai paling gah dan hebat di Singapura. Kebiasaannya, bangunan kondominium akan dibina secara menegak, namun lain pula buat The Interlace yang dibina secara melintang.
The Interlace merangkumi 31 blok bangunan, di mana setiap blok mempunyai ketinggian 6 tingkat dan panjang 70 meter. Setiap blok pula dibina secara bertindih dan berasingan daripada satu sama lain, bertujuan untuk memberikan ruang privasi kepada setiap penghuni rumah.
Pada tahun 2015, The Interlace menewaskan ratusan bangunan ikonik daripada seluruh dunia untuk meraih gelaran ‘World Building of the Year‘, sebuah anugerah tertinggi dalam dunia seni bina. Untuk pemahaman anda, anugerah ini boleh diibaratkan sebagai anugerah Oscars bagi industri lakonan.
Berikut adalah beberapa fakta menarik The Interlace:
1. Dibina secara melintang
Idea asal rekaan The Interlace adalah untuk membina 12 bangunan kondominium yang berasingan. Namun, arkitek pada masa itu mahu memecahkan status quo antara penghuni, maka rekaan akhir The Interlace direka secara melintang.
2. Kesan terowong angin
Seni bina blok The Interlace yang dibina secara melintang dan bertindih di antara satu sama lain telah mencipta satu ruang untuk angin masuk dan menjadi lebih kuat serta laju. Rekaan ini menjadikan The Interlace mempunyai penyejuk semula jadi, membuatkan kawasan kondominium ini sentiasa nyaman sepanjang tahun.
3. Penuh dengan kehijauan
The Interlace adalah rumah kepada lebih daripada 170 specis tumbuhan, merangkumi 1,200 pokok dan 700 tumbuhan kecil. Di setiap sudut bangunan The Interlace mempunyai taman kecil yang bertujuan untuk mencantikkan lagi rekaan. Untuk rekod, tumbuhan hijau merangkumi 112% di The Interlace.
4. Kemudahan yang lengkap
The Interlace menyediakan 8 jenis kemudahan buat penghuninya seperti kafe, spa kuku dan kedai roti. Lebih mengagumkan, kondominium ini juga menyediakan servis ‘shuttle’ untuk penghuni mereka pergi ke stesen MRT HarbourFront.
5. Trek berlari
Salah satu kemudahan unik di The Interlace adalah trek berlari sepanjang 1 kilometer. Trek ini menghubungkan seluruh kawasan kondominium dan dibuka sepanjang hari.
6. Ruangan rumah yang mewah
Di Singapura, keluasan rumah semakin lama semakin kecil ekoran permintaan yang sangat tinggi. Namun lain pula buat The Interlace yang mengutamakan kemewahan dan keselesaan penghuni, setiap unit rumah mempunyai keluasan 2,056 kaki persegi dengan 3 buah bilik. Manakala saiz untuk ‘penthouse’ pula adalah seluas 3,488 sehingga 6,308 kaki persegi.
Cuba bayangkan kalau rider nak hantar makanan dekat sini, sampai esok tak jumpa rumah!
Sumber: EdgeProp, Architizer