Kes keganasan melibatkan pelajar di sekolah bukanlah satu perkara yang asing. Malah, isu seperti ini telah berlaku sejak puluhan tahun lalu dan terus menjadi kebimbangan utama buat ibu bapa serta pihak institusi pendidikan dalam memastikan keselamatan warga sekolah terjamin.
Semalam kita digemparkan dengan satu kes serangan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banting, melibatkan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga yang bertindak menyerang pelajar lain menggunakan senjata tajam di kawasan sekolah tersebut.
Artikel Berkaitan: Kes T*kam Pelajar Di Bandar Utama, Ini Kronologi Penuh Kejadian Tragis Tersebut
Artikel Berkaitan: Remaja Dipercayai Alami Lebih 10 T*kaman, Berikut Kronologi Kes T*kam Di Sekolah Banting
Suspek yang dilaporkan mempunyai autisme serta masalah kesihatan sebelum ini dikatakan tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana sedang menjalani rawatan. Tersebar beberapa maklumat terbaru menerusi Threads tentang suspek yang didakwa menulis perancangan serangan tersebut serta sebab-sebab suspek bertindak untuk menyerang pelajar tersebut.

Serangan tersebut bagaimanapun telah menyebabkan seorang remaja perempuan mengalami kecederaan serius selepas didakwa ditikam beberapa kali, termasuk kecederaan pada bahagian paru-paru kiri.
Suspek telah pun ditahan oleh pihak polis, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Selain insiden yang berlaku ini, terdapat juga beberapa kes keganasan melibatkan pelajar di Malaysia dan negara lain yang pernah mencuri perhatian dunia.
1. Kes tikam pelajar di Bandar Utama, Malaysia.
Selain insiden terbaharu semalam, kes tikaman yang mengorbankan seorang pelajar di sebuah sekolah di Bandar Utama pada Oktober 2025 juga pernah menggemparkan negara. Kejadian berkenaan menjadi antara kes keganasan pelajar paling mengejutkan di Malaysia.
Suspek yang merupakan pelajar lelaki berumur 14 tahun telah bertindak menikam seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun sehingga mati menggunakan 2 senjata tajam.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.30 pagi pada 14 Oktober 2025, di kawasan luar bilik darjah berhampiran tandas perempuan. Ketika kejadian, seorang guru yang berada tidak jauh dari lokasi berkenaan terdengar jeritan meminta pertolongan daripada mangsa.

Namun, keadaan sudah terlambat apabila suspek dipercayai telah bertindak menikam mangsa sebelum sempat dibantu. Kira-kira 200 kesan tikaman dijumpai di seluruh badan mangsa. Mangsa juga ditemui berlumuran dengan darah apabila ditermui di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, motif sebenar di sebalik kejadian tikaman tersebut tidak terkait dengan isu buli. Terdapat pelbagai spekulasi yang mendakwa tindakan suspek berpunca daripada perasaan cinta yang tidak dibalas terhadap mangsa. Namun, pihak polis memaklumkan dakwaan itu masih dalam siasatan.
2. The Columbine Shooting, Amerika Syarikat
Kes tembakan yang dikenali sebagai ‘The Columbine Shooting’ merupakan antara tragedi tembakan sekolah paling dahsyat dalam sejarah Amerika Syarikat. Kejadian yang berlaku pada 20 April 1999 di Columbine High School itu menggemparkan dunia apabila dua pelajar melakukan serangan bersenjata yang mengorbankan 13 nyawa serta mencetuskan perdebatan besar mengenai kawalan senjata api dan keselamatan sekolah di negara tersebut.

Kes tembakan yang berlaku kira-kira jam 11.19 pagi itu dilakukan oleh dua pelajar sekolah berkenaan, iaitu Eric Harris, 18, dan Dylan Klebold, 17. Ketika kejadian, kedua-duanya dilihat memakai jaket panjang sebelum memulakan serangan dengan melepaskan tembakan di luar kawasan sekolah. Mereka kemudiannya bergerak masuk ke dalam bangunan sekolah dan meneruskan serangan di dalam perpustakaan.

Dalam tempoh 16 minit, Eric dan Dylan telah meragut nyawa 12 pelajar serta seorang guru, manakala 20 pelajar lain dilaporkan mengalami kecederaan. Tepat jam 12 tengah hari, kedua-dua suspek kemudian mengakhiri tindakan mereka dengan membunuh diri di lokasi kejadian.

Menurut siasatan pihak polis, kedua-dua suspek tiba secara berasingan pada hari kejadian. Setibanya di lokasi, mereka pergi ke kafeteria untuk meletakkan dua beg sandang yang masing-masing mengandungi bom propana seberat 20 paun yang telah ditetapkan untuk meletup pada jam 11.17 pagi.

Namun, bom tersebut gagal meletup seperti yang dirancang. Setelah itu, kedua-dua suspek memutuskan untuk memulakan serangan tembakan. Pihak berkuasa percaya sekiranya bom tersebut berjaya diletupkan, jumlah mangsa yang terkorban dalam insiden itu mungkin akan menjadi lebih tinggi.
Terdapat spekulasi mengatakan, Eric dan Dylan bertindak melakukan serangan tembakan itu kerana mereka berdua merupakan ahli kumpulan terpinggir yang dinamakan ‘Trenchcoat Mafia’. Ada juga yang mengatakan, mereka berdua ingin membalas dendam terhadap pembuli.
Permainan video ganas dan muzik turut dikaitkan sebagai faktor yang mempengaruhi tindakan mereka, namun dakwaan tersebut tidak pernah dibuktikan.
3. Kes Tikam Bermanifesto di Pirkkala, Finland
Satu insiden tikaman bermotif dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di Pirkkala, Finland pada 20 Mei 2025. Suspek, seorang pelajar berusia 16 tahun, dipercayai menikam tiga pelajar perempuan yang masing-masing berusia 14 tahun.
Apa yang lebih mengejutkan adalah kesemua mangsa tidak mempunyai sebarang hubungan atau mengenali mangsa lain serta suspek. Siasatan mendapati suspek memilih mangsa secara rawak dan baginya pelajar perempuan menjadi sasaran utama kerana dianggap sebagai target mudah dan lebih ‘menyenangkan’ untuk diserang.

Kes tikaman yang dilakukan oleh pelajar itu menarik perhatian umum apabila suspek dipercayai menulis manifesto sebelum melancarkan serangan di sekolahnya.
Manifesto satu halaman itu mencuri perhatian kerana kandungannya yang ringkas dan luar biasa. Ditulis dalam bentuk senarai poin, dokumen tersebut tidak mengandungi latar belakang peribadi atau penjelasan panjang.
Ditulis dalam bahasa Finland, manifesto itu menyenaraikan tarikh, lokasi serangan serta sasarannya iaitu pelajar perempuan. Motif yang dinyatakan juga agak pelik apabila suspek hanya mahu melakukan sesuatu yang ‘penting’ dan ‘mengujakan’, sambil menjangkakan hukuman penjara antara dua hingga empat tahun.
Dalam bahagian kedua manifesto, suspek menggambarkan dirinya sebagai seorang “ateis eksistensialis” dan mendakwa tidak mempunyai keinginan untuk berkawan.
Bahagian akhir manifesto pula mendedahkan perancangan serangan yang didakwa telah dibuat selama enam bulan, termasuk penggunaan ChatGPT. Dia juga merancang merakam serangan tersebut dan menyebarkannya dalam talian.

Manifesto itu turut mendedahkan bahawa serangan tersebut bukanlah rancangan pertama suspek. Bahagian akhir manifesto pula mengandungi senarai semak 10 perkara yang memperincikan persediaan serangan, termasuk pakaian, peralatan dibawa serta tindakan selepas kejadian seperti memuat naik rakaman, menghubungi polis dan menyerah diri.

Mahkamah Daerah Pirkanmaa mendapati suspek didapati bersalah atas tiga pertuduhan cubaan membunuh berkaitan insiden tikaman di sebuah sekolah di Pirkkala, Finland dan suspek diarahkan membayar pampasan berjumlah kira-kira 39,600 euro kepada tiga mangsa yang terlibat.
4. Kes serangan solo di Kolej Crimea, Russia
Tragedi serangan pelajar di Crimea, Rusia menggemparkan ramai selepas kejadian itu meragut 18 nyawa. Serangan itu dipercayai dilakukan oleh seorang pelajar berusia 18 tahun yang menuntut di sebuah kolej politeknik negeri di daerah tersebut.

Serangan itu dipercayai dilakukan secara solo, tanpa sebarang bantuan daripada pelajar lain. Suspek dilaporkan memasuki institusi tersebut pada petang Rabu dengan membawa senjata api, kemudian melepaskan tembakan dan mencetuskan letupan bom di kafeteria kolej sebelum mengakhiri hidupnya sendiri.
Jawatankuasa Penyiasatan Rusia, yang berperanan seperti FBI, berkata pihaknya percaya penyerang tersebut ialah Vladislav Roslyakov, seorang pelajar tahun keempat di kolej berkenaan.
Rakaman CCTV di kolej tersebut telah merakam footage dimana suspek memasuki lokasi kejadian dengan senjata api di tangan, kata Svetlana Petrenko, jurucakap wanita bagi jawatankuasa tersebut.
“Mayatnya ditemui di dalam sekolah dengan kecederaan akibat tembakan,”
“Berdasarkan keadaan di lokasi kejadian, penyiasat percaya lelaki muda itu telah menembak dan membunuh beberapa individu di sekolah tersebut sebelum membunuh diri,” – katanya lagi

Serangan itu mula diketahui selepas satu letupan menggemparkan kawasan kolej tersebut. Polis kemudian mengesahkan letupan berkenaan berpunca daripada bom buatan sendiri yang dipenuhi objek logam dan diletakkan di kafeteria.
Pengarah sekolah tersebut, Olga Grebennikova, berkata dia sempat meninggalkan kawasan sekolah kira-kira 5 hingga 10 minit sebelum serangan bermula.
Menurutnya, suspek dilihat bergerak di tingkat dua sambil membawa senjata api dan bahan letupan sebelum memasuki beberapa bilik serta menyerang mangsa yang berada di situ. Dalam keadaan sebak, Grebennikova memberitahu stesen televisyen tempatan Crimea, KerchNet, bahawa ramai pelajar menjadi mangsa dalam tragedi tersebut.

Kes tembakan di sekolah bukanlah sesuatu yang biasa berlaku di Rusia, lebih-lebih lagi dengan undang-undang pemilikan senjata api yang ketat. Namun, tragedi di Crimea ini menjadi antara serangan paling berdarah dalam tempoh lebih sedekad di negara tersebut.
5. Serangan tikam murid perempuan di Sasebo, Jepun
Di dalam semua kes serangan pelajar di atas, kesemua suspek berumur 15 tahun ke atas. Namun untuk kes terakhir ini suspek yang didapati bersalah membunuh seorang rakan sekelasnya di sebuah Sekolah Rendah Okubo, Sasebo, Jepun pada tahun 2004 hanya berusia 11 tahun.
Mangsa, Satomi Mitarai yang ketika itu baru berusia 12 tahun, ditemui maut selepas ditikam menggunakan pisau pemotong kotak di bahagian leher oleh suspek ketika waktu rehat makan tengah hari di sekolah tersebut.

Ketika rakan-rakan sekelas mereka sedang menikmati waktu makan tengah hari, kedua-dua pelajar perempuan itu dilaporkan tidak berada di dalam kelas. Tidak lama kemudian, suspek masuk semula ke dalam kelas dengan tangan berlumuran darah sebelum membawa guru mereka ke lokasi kejadian.
Kazuyoshi Tominaga dari jabatan bomba tempatan berkata, dia menemui Satomi dalam keadaan terbaring meniarap di sebuah bilik tingkat tiga yang digunakan untuk aktiviti pembelajaran persendirian.
“Dia tidak sedarkan diri dan sudah tidak bernafas. Tiada sesiapa lagi berada di dalam bilik itu ketika kami tiba,”– katanya.

Satomi Mitarai, 12 tahun
Selepas ditahan pihak berkuasa, suspek dilaporkan mengaku melakukan jenayah tersebut sambil berkata, “Saya minta maaf, saya minta maaf” kepada anggota polis. Dia menghabiskan malam pertama di balai polis dalam keadaan sering menangis serta enggan makan dan minum.
Tiada siapa sangka bahawa suspek dan juga mangsa merupakan sahabat baik tetapi mereka mula bermusuhan selepas berlaku pertelingkahan di laman sembang Cafesta.
Disebabkan usia suspek yang pada ketika itu berusia 11 tahun, dia tidak dikenakan hukuman penjara biasa sebaliknya ditempatkan di institusi pemulihan juvana. Sehingga kini, identiti serta keberadaannya selepas dibebaskan masih dirahsiakan kepada umum berikutan statusnya sebagai pesalah bawah umur.
Sumber: History, Global Network, abc News, The Guardian
