Beberapa minggu ini, Perancis diserang dengan masalah baru iaitu wabak pepijat atau bedbug yang dikatakan kini berada di luar kawalan.
Peningkatan bilangan kes pepijat yang dilaporkan dan semakin berleluasa telah menyebabkan kerajaan Perancis terpaksa mengadakan mesyuarat tergempar susulan serangan serangga penghisap darah itu.
Isu pepijat yang pada awalnya menjadi bahan ejekan bertukar kepada isu politik yang menjadi perbalahan serius di negara Eropah itu.
Artikel berkaitan: Pemakaian Hijab Untuk Atlet Ketika Sukan Olimpik Paris 2024 Dibenarkan
Artikel berkaitan: Gadis Derita Digigit Pepijat Ketika Menaiki Bas Ekspres Dari Hat Yai ke Kuala Lumpur
Dapat dilihat rakaman video yang memaparkan serangga itu berada di pelbagai lokasi awam seperti di dalam kereta api, lapangan terbang, metro Paris dan pawagam, pada kadar yang menakutkan.
Paris bedbug epidemic is SPREADING🥶🥶🥶🥶👇👇👇 pic.twitter.com/bBjQmdOUA6
— Humanbydesign (@Humanbydesign3) October 4, 2023
Kebimbangan memuncak apabila Perancis sedang bergelut dengan penganjuran Piala Dunia Ragbi dan mengadakan persiapan untuk Sukan Olimpik 2024.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Perancis Aurelien Rousseau meminta masyarakat supaya bertenang dengan wabak yang melanda meskipun mengakui bahawa serangan serangga itu ibarat ‘neraka’.
“Tiada alasan untuk panik, Kita tidak diserang pepijat,” kata Rousseau kepada penyiar France Inter.
Susulan itu, Perancis akan mengerahkan anjing-anjing penghidu untuk mengesan pepijat di sekitar lokasi yang berkemungkinan berlaku serangan serangga itu.
Menteri Pengangkutan Perancis Clement Beaune berkata bahawa kementeriannya bakal mengadakan pertemuan dengan semua pengangkutan awam minggu depan untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Kebiasaannya, pepijat bersarang di dalam tilam, walaupun boleh bersembunyi di dalam pakaian dan dalam bagasi. Serangga itu keluar pada waktu malam untuk menghisap darah manusia.
Gigitan pepijat meninggalkan kesan merah, lepuh atau ruam besar pada kulit dan boleh menyebabkan kegatalan yang teruk atau tindak balas alahan.
Sumber: Astro Awani, Berita Harian