Nak dekat-dekat raya ni, permintaan terhadap bekalan daging memang meningkat.
Baik daging ayam, lembu atau kerbau — semua ni merupakan keperluan asas yang wajib ada, untuk dibuat juadah rendang atau pelbagai masakan lain pada hari raya nanti.
Tak terkecuali, daging rusa — ada ke yang suka makan daging rusa kat sini?
Kalau ada yang perasan, banyak betul penjual iklankan daging rusa di laman Facebook masing-masing kan? Murah-murah pulak tu.
Tapi berhati-hati sebelum membeli, kerana sebuah akhbar tempatan melaporkan wujudnya segelintir pihak yang menjual daging rusa palsu dan memperdayakan orang ramai.
Perkara itu didedahkan wakil penternak rusa daerah Jerantut, Shamsul Mohd Ali Hanapiah @ Hamid — selepas mendapati banyak iklan yang menawarkan daging haiwan itu tular di laman Facebook.
Menurut beliau, harga yang ditawarkan iaitu sekitar RM30 hingga RM35 juga adalah tidak munasabah — kerana harganya sama seperti daging lembu dan kerbau.
Katanya, harga daging rusa di pasaran ketika ini adalah sekitar RM75 hingga RM95 sekilogram mengikut bahagian tertentu.
“Jika bahagian batang pinang harganya adalah RM160 sekilogram manakala bahagian torpedo atau alat kelamin, ia mampu mencecah RM200 sekilogram.”
“Jika pihak terbabit menjual daging rusa ini pada harga RM35 sekilogram dan didarab dengan 30 kilogram nilai seekor rusa berkenaan hanyalah RM1,050. Bagaimana penternak boleh mendapat keuntungan pada harga begitu?”
Shamsul menjelaskan, seekor rusa yang diternak bernilai lebih RM3,500 dan berat daging serta tulang yang boleh dijual adalah sekitar 30 kilogram sahaja,
Difahamkan, pihak yang menjual daging tersebut mendakwa mereka mendapat bekalan dari sebuah ladang di daerah Jerantut — namun belum ada penternak yang menternak haiwan itu dalam skala besar di negara ini.
Mengenai daging yang dijual dalam pack, yang banyak diiklankan di laman sosial itu pula — beliau percaya ia merupakan daging lembu atau kerbau.
“Biasanya penternak rusa akan menjual daging rusa di ladang masing-masing yang dijual berserta tulang, manakala harganya pula tidak serendah daging lembu mahupun kerbau.”
Kebanyakan daging rusa palsu itu dijual secara mampat tanpa tulang dan diedarkan pihak tertentu melalui laman sosial, malah ada yang dijual di kedai tertentu.
Menurut perkongsian seorang pengguna Facebook, semua daging rusa yang disembelih mestilah mempunyai cukup bahagian anggota dan organnya seperti daging pejal (sedikit bahagian peha), tulang (rusuk, kaki, tunjang), kepala dan kulit.
Jangan kita termakan daging yang tahu asal usulnya, sudahlah ye.