Peminat muzik hiphop pastinya tidak perlu dikenalkan lagi dengan nama Tupac Shakur. Artis hiphop dari Amerika Syarikat itu popular dengan lagu-lagu bertemakan gangster rap yang menjadi siulan ramai.
Seperti yang semua sedia maklum, Tupac telah menemui ajal pada tahun 1996 secara tragis. Tupac yang dalam perjalanan untuk menyaksikan perlawanan tinju antara Mike Tyson dan Bruce Seldon di Las Vegas telah ditembak sebanyak empat kali oleh pemandu yang tidak dikenali. Beliau meninggal dunia selepas menerima rawatan di hospital selepas enam hari.
Walaupun disahkan kematiannya, 26 tahun selepas itu, khabar angin dan teori konspirasi bertiup kencang bahawa Tupac masih hidup dan kini menetap di Malaysia. Menurut laporan Lad Bible, pada 2018, anak kepada penerbit muzik, Suge J. Knight yang pernah bekerjasama dengan lagenda muzik hiphop itu menyatakan Tupac masih hidup.
Dalam kemaskini itu, Knight Jr. mendakwa beliau ada berhubung dengan Tupac dan turut menyiarkan siri foto Tupac dengan pemuzik seperti 50 Cent dan Beyonce. Bagi menguatkan dakwaannya itu, Knight Jr. juga mengatakan Tupac kembali ke studio dengan muzik baharu di laman sosialnya.
Walau bagaimanapun, tiada bukti kukuh yang mengatakan Tupac masih hidup dan kini menetap di Malaysia seperti yang didakwa oleh Knight Jr.
Baca: “Mimpi jadi kenyataan” – Joe Flizzow Jadi Pilihan Snoop Dogg Kolaborasi Album The Algorithm