Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menganjurkan Sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2026 (WOD 2026) di Taman Botani di Putrajaya.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Sambutan ini adalah usaha berterusan MPOGCF untuk memperkukuh reputasi industri sawit
dan manifestasi komitmen Malaysia terhadap keseimbangan antara pembangunan ekonomi
dan pemuliharaan biodiversiti.

Program ini juga menjadi bukti bahawa sektor sawit mampan mampu menjadi rakan dalam
menjaga kelestarian alam.
Sambutan Hari Orang utan Sedunia 2026 menerima sokongan daripada rakan strategik MPOGCF termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Lembaga Tembakau dan Kenaf Negara (LKTN), Institut Kemahiran Perladangan dan Komoditi (IMPAC), Sawit Kinabalu Sdn. Bhd, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, OrangJuga dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Acara utama sambutan ialah aktiviti Fun Walk 10km, 5km dan 3km yang disertai lebih 1,500
peserta.

Semua kutipan yuran penyertaan akan disalurkan ke dalam Tabung Konservasi MPOGCF
untuk menyokong usaha pemuliharaan orang utan melalui program Diplomasi Orang Utan atau
OUDip.
Majlis perasmian turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi merangkap Pengerusi MPOGCF, YBhg. Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof, Ketua Pengarah MPOB, YBhg. Datuk Badrul Hisham Mohd, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Dr. Ramle Moslim dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MSPO, Mohd Hasbollah Suparyono, serta wakil-wakil daripada industri, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan universiti tempatan.
Sejak diperkenalkan pada 2023, Sambutan Hari Orang Utan Sedunia telah menjadi program andalan MPOGCF dalam mendidik masyarakat tentang peranan penting orang utan sebagai spesies penunjuk kesihatan ekosistem serta memupuk kefahaman terhadap kepentingan pembangunan lestari dalam industri sawit.
Melalui sambutan ini, MPOGCF berhasrat untuk terus menghubungkan masyarakat dengan nilai pemuliharaan serta memperkukuh komitmen nasional terhadap usaha melindungi biodiversiti negara.
Sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2026 turut mendapat tajaan daripada Kuala Cola, Thomson Hospital, Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd, Decathlon, Great Mateen, Lets Play dan Tourism Malaysia.
Mengenai MPOGCF
Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) merupakan yayasan ditubuhkan untuk menyokong usaha pemuliharaan berkaitan industri minyak sawit dan mencerminkan komitmennya ke arah memulihara alam sekitar.
Dengan pelbagai usaha pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan oleh MPOGCF, adalah diharapkan ia akan meningkatkan reputasi industri minyak sawit untuk mencapai pengiktirafan global bagi amalan mampan. MPOGCF sentiasa memerhatikan kawasan kritikal yang berkaitan dengan pemuliharaan hijau dalam industri kelapa sawit bagi perlindungan dan pengurusan jangka pendek, pertengahan dan panjang, serta pemuliharaan warisan semula jadi negara.
Kami komited dalam mempamerkan kepada dunia bahawa industri minyak sawit Malaysia adalah industri yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Pembiayaan yang diberikan adalah sebahagian daripada usaha mempamerkan komitmen industri dalam memulihara alam semula jadi dan mempromosikan landskap hijau.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai MPOGCF, sila layari www.mpogcf.org.
