Kerajaan melancarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) struktur baharu yang menawarkan tempoh sah laku sehingga 10 tahun, berkuat kuasa 1 Julai 2026. Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Ruang Legar Dewan Rakyat, Parlimen.
Tempoh Sah Laku & Kadar Bayaran
Bermula 1 Julai 2026, warganegara 18 tahun ke atas mempunyai pilihan untuk memohon PMA dengan tempoh sah laku sama ada:
- 5 tahun (RM200) atau
- 10 tahun (RM350)
Pengenalan tempoh sah laku 10 tahun ini turut memberi penjimatan sebanyak RM50 kepada pemohon berbanding kos pembaharuan pasport 5 tahun yang perlu dilakukan dua kali bagi tempoh yang sama.

Ciri Keselamatan Dipertingkat
PMA baharu menampilkan 94 ciri keselamatan berbanding 49 sebelum ini, merangkumi elemen visual, tersembunyi dan forensik.
Antara teknologi digunakan:
- guilloche
- latent image
- rainbow printing
- line width modulation
- hologram
- cetakan UV
Ia bertujuan memperkukuh perlindungan terhadap pemalsuan, pengubahsuaian dan penyalahgunaan dokumen perjalanan negara.

Piawaian Antarabangsa & Identiti Baharu
Malaysia, antara negara terawal di dunia yang memperkenalkan ePasport sejak 1998, terus mematuhi piawaian International Civil Aviation Organization (ICAO) bagi memastikan pasport kekal diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Dari segi identiti, PMA baharu turut menampilkan identiti nasional menerusi:
- elemen sejarah
- warisan budaya
- simbolik sistem Raja Berperlembagaan
PMA versi baharu memperkenalkan rama-rama Rajah Brooke’s Birdwing sebagai identiti baharu pasport Malaysia yang menggantikan bunga raya sebagai simbol utama.
Pelaksanaan dibuat secara berperingkat di 71 pejabat pasport seluruh negara mulai Julai 2026.
Mesin pencetak generasi baharu yang digunakan berkeupayaan mencetak sehingga 60 pasport sejam bagi menyokong keperluan pengeluaran semasa yang mencecah purata 160,000 pasport sebulan.
KDN turut menasihati orang ramai untuk tidak tergesa-gesa menukar pasport sedia ada sekiranya dokumen tersebut masih sah laku.
Pasport sedia ada masih sah digunakan sehingga 6 bulan sebelum tamat tempoh.
Sumber: KDN
