Bekerja sebagai seorang nelayan bukanlah sesuatu yang mudah sebab mereka juga perlu berdepan risiko keselamatan. Kalau tiba-tiba bot rosak di tengah laut atau cuaca yang tiba-tiba berubah menjadi buruk, ia boleh menyebabkan bot karam.
Itulah yang terjadi kepada seorang nelayan dari Brazil ini apabila dia terpaksa menyelamatkan diri menggunakan peti sejuk setelah botnya bocor dan karam di lautan Atlantik, lapor Daily Mail
Romualdo Macedo Rodrigues pada awalnya mahu memancing di laut selama beberapa hari namun rancangannya itu gagal setelah botnya karam.
Lelaki berusia 44 tahun itu panik dan ketika karam, dia sempat memanjat ke dalam peti sejuk yang memang ada dalam bot itu untuk menyelamatkan diri.
Selama 11 hari kemudiannya, dia terpaksa terapung di laut di dalam peti sejuk berkenaan tanpa sebarang makanan dan minuman.
Dia juga percaya dia kehilangan sekitar 11 kilogram daripada berat badannya sepanjang tempoh tersebut.
Selepas 11 hari, dia akhirnya ditemui dan diselamatkan oleh pihak berkuasa di sekitar 450 kilometer daripada tempat botnya karam.
Akibat kejadian itu, dia mengalami dehidrasi, strok haba dan kekeliruan. Sejurus selepas ditemui, dia telah diberikan air dan bubur untuk menghilangkan kelaparannya.
Ketika ditanya tentang perasaannya ketika itu, dia mengatakan dia takut akan diserang ikan jerung namun nasibnya baik kerana ia tidak berlaku.
Sumber: Daily Mail
Baca: 2 Tahun Terpisah, Lelaki Nekad Dayung Bot Dari Phuket Ke India Untuk Lepaskan Rindu Pada Isteri