Kerajaan Negeri Johor telah mengumumkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura bakal dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada 29 November 2021.
Pengumuman berkenaan turut disahkan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang memaklumkan keputusan berkenaan dilakukan selepas hasil perbincangan memutuskan perjalanan darat tersebut hanya merangkumi sempadan pas jangka panjang.
Berita ini pastinya disambut baik oleh orang ramai terutamanya rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.
“Perjalanan darat antara Singapura dan Johor Bahru hanya akan merangkumi sempadan pas jangka panjang, semua untuk mereka yang bekerja di Singapura atau yang bekerja di Johor Bahru”
Dalam masa yang sama, difahamkan kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk membuat laluan darat antara Singapura dan Johor Bahru sama seperti yang ditawarkan dari Changi ke KLIA.
Terdahulu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong memaklumkan, Malaysia dan Singapura akhirnya dapat kembali melakukan perjalanan rentas sempadan melalui udara menggunakan VTL mulai 29 November ini.
Bagi VTL Udara pula, difahamkan terdapat beberapa garis panduan yang telah dikeluarkan oleh kedua-dua negara, bagi kemasukan ke Singapura tanpa perlu kuarantin, ini adalah ringkasannya :
- Pelawat telah mendapat vaksinasi penuh
- Kanak-kanak bawah 12 tahun yang tidak divaksin perlu diiringi oleh ibubapa atau penjaga yang telah mendapat vaksinasi penuh
- Harus berada dalam negara VTL (Malaysia) sekurang-kurangnya 14 hari
- Perlu menjalani 2 ujian saringan Covid-19 – iaitu 2 hari sebelum pelepasan dan setibanya di Singapura.
Untuk garis panduan penuh, boleh layari laman web rasmi pihak imigresen Singapura di sini.
Baca : PM Malaysia & Singapura Setuju Buka Sempadan Bagi Individu Terima Vaksin Lengkap Tanpa Kuarantin!