in

Keluarga Terlibat Kes Pembunuhan, Ini Sebab Kenapa Ada Orang Indo Tak Suka Dian Sastro…

Collage 30

Baru-baru ini, gambar pelakon terkenal dari Indonesia, Dian Sastrowardoyo bercuti di Swiss telah tular di X. Rata-rata orang Malaysia telah memuji gaya hidup pelakon kesukaan mereka ini, tapi rakyat Indonesia yang melihat posting tersebut lain pula reaksinya…

Menjengah ke ruangan reply dan quote, rata-rata netizen di Indonesia telah memanggil Dian sebagai koruptor. Tak cukup dengan itu, mereka juga turut dedahkan beberapa perkara tentang keluarga mentuanya yang ramai orang Malaysia tak pernah tahu sebelum ni.

Dari korupsi hingga pembunuhan, ini kes besar melibatkan keluarga mentua Dian Sastro…

Artikel berkaitan: “Shooting ke” – Dian Sastro Lepak Di Terengganu, Ramai Peminat Terkejut!

Artikel berkaitan: 5 Sebab Kenapa Korang WAJIB Tengok Siri Gadis Kretek!

Siapa keluarga mentua Dian Sastro?

80686 Foto Keluarga Adiguna Sutowo Dua Dari Kiri

Dian Sastro telah berkahwin dengan Maulana Indraguna Sutowo pada tahun 2010. Suaminya ini merupakan anak kepada seorang pengasas perniagaan dunia hiburan Mugi Resko Abadi (MRA Group), Adiguna Sutowo yang pernah terlibat dalam kes pembunuhan menggemparkan Indonesia.

Selain itu, datuk Maulana, Ibnu Sutowo yang merupakan pengarah utama PT Pertamina pada 1957 juga pernah terlibat dalam kes rasuah ketika menjawat jawatan tersebut.

Adiguna Sutowo: Tembak mati pelayan di Hotel Sultan

Hal130105Siska Logo.jpg

Ketika menyambut tahun baru pada 1 Januari 2005 yang lalu, Adiguna telah menembak mati seorang pelayan, Yohanes Brachmans Haerudy Natong atau lebih dikenali sebagai Rudy. Kejadian ini berlaku di Hotel Hilton Jakarta, di Bar Fluid Club & Lounge yang terletak di tingkat satu hotel itu.

Sebelum itu, Adiguna telah menyambut tahun baharu di sebuah kelab malam di Jakarta, Dragonfly bersama isteri keduanya, Vika Dewayani dan rakan-rakannya Novia Herdiana @ Tinul dan Thomas ‘Tom’ Edward Sisk.

Mereka kemudiannya telah pergi ke Hotel Hilton dan berkumpul di dalam bilik Adiguna sebelum Adiguna, Tinul dan Tom turun ke Fluid Club pada jam 3 pagi. Kemudian, pada jam 4.40 pagi, Adiguna telah duduk di bar bersama-sama Tinul.

Ketika di sana, Tinul telah memesan vodca tonic untuk Adiguna dan lychee martini untuk dirinya sendiri dan meminta Rudy yang bekerja sebagai pelayan di bar tersebut untuk mengecaj minuman tersebut ke biliknya.

Namun begitu, Rudy telah memberitahu bahawa dia tak boleh berbuat demikian dan Tinul telah membayar minuman yang berjumlah Rp150,000 (RM45) menggunakan kadnya.

Adiguna kemudiannya telah memesan dua minuman yang sama dan telah memberikan kad debit BCA untuk membayarnya. Rudy telah mengambil kad tersebut dan telah bertanya kepada cashier sama ada kad tersebut boleh digunakan atau tidak.

Cashier tersebut, Hari Suprasto kemudiannya mengatakan bahawa mesin untuk kad tersebut tak ada. Tapi bila Rudy cuba untuk menerangkan perkara tersebut, Tinul telah naik marah.

Awak tak tahu ke dia ni siapa? Dia ni pemegang saham terbesar hotel ni!” katanya sambil menudingkan jari ke arah Adiguna.

Adiguna turut naik angin dengan layanan tersebut dan mula bangun dan membawa keluar pistol .22 kaliber mengacunya ke kepala Rudy.

Rtjtjtj

Pihak polis mengatakan, Adiguna telah cuba melepaskan dua tembakan tapi tak ada peluru yang keluar dan pada tembakan ketiga, Rudy telah ditembak di kepala. Pelayan tersebut kemudiannya terjatuh dan meninggal dunia.

Selepas menembak Rudy, Adiguna telah mengelap pemegang pistol dan memberikan pistol tersebut kepada DJ Werner Saferna @ Wewen yang berdiri lebih kurang 1 meter dari mereka sebelum meninggalkan kelab tersebut.

Mayat Rudy kemudiannya diangkat keluar dari bar dan dibawa ke klinik perubatan di dalam hotel tersebut sebelum dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia. Mayat Rudy telah dikawal oleh dua pengawal keselamatan hotel tersebut.

Tunang Rudy, Riska Leliana mengatakan bahawa pihak pengurusan kelab tersebut tak pernah minta maaf atau menghulurkan simpati atas pembunuhan tersebut.

Polis Jakarta kemudiannya telah menjadikan Adiguna sebagai suspek. Ketika bilik hotelnya digeledah, polis telah menemui 19 peluru yang sama dengan jenis peluru yang membunuh Rudy. Peluru tersebut telah disorokkan di dalam tandas.

Media pada ketika itu melaporkan, siasatan lanjut pihak polis menemui bahawa Adiguna sedang khayal dadah jenis kristal serta mabuk disebabkan alkohol ketika pembunuhan tersebut berlaku.

Waktu pagi selepas pembunuhan tersebut, Adiguna dikatakan telah mengalami pendarahan dalam hidung hingga menyebabkan pihak polis turut menemui tuala, tisu dan sapu tangan berdarah di dalam bilik hotel tersebut.

Adiguna bagaimanapun telah mengaku tidak bersalah menembak Rudy dan berkata kepada polis bahawa dia hanya pergi ke kelab tersebut untuk mencari anak perempuannya.

Tak cukup dengan itu, lelaki ini juga menafikan bahawa dia telah duduk di bar, bercakap dengan Tinul mahu pun membawa pistol. Adiguna kemudiannya mendakwa bahawa dia telah menolong untuk mengangkat mayat Rudy sehingga menyebabkan darah lelaki tersebut terkena pada bajunya.

Wewen yang telah memegang pistol yang membunuh Rudy itu telah menyimpan senjata tersebut selama lima hari di rumahnya sebelum menyerahkan pistol tersebut kepada pihak polis dan memberikan kenyataan.

Pemeriksaan balistik kemudiannya mengesahkan bahawa pistol tersebut merupakan pistol yang sama digunakan untuk menembak kepala Rudy.

Selepas pembunuhan ini, Hotel Hilton telah menukar namanya kepada The Sultan dan hotel ini dimiliki oleh abang Adiguna, Pontjo Nugro Susilo yang lebih dikenali sebagai Pontjo Sutowo.

Kalau korang nak tahu, Rudy yang baru berusia 25 tahun itu merupakan anak dari keluarga berpendapatan rendah yang berasal dari Pulau Flores. Dia telah bekerja sebagai pelayan separuh masa di Hilton bagi menampung pengajiannya di Universiti Bung Karno sebagai pelajar undang-undang.

Rudy sepatutnya bakal menamatkan pelajarannya pada tahun 2005 dan pada awalnya, keluarga Rudy diberitahu bahawa anaknya itu telah ditembak ketika melakukan protes kenaikan minyak di Jakarta.

Sebelum perbicaraan kes ini dimulakan, abang Adiguna, Pontjo dikatakan telah pergi ke Flores untuk memberikan simpati mengikut adat iaitu mempersembahkan keluarga ini dengan kepala lembu yang telah disembelih.

Selain itu, Pontjo juga dikatakan telah memberikan sejumlah wang sehingga bapa Rudy telah menulis sepucuk surat meminta hakim-hakim untuk memberikan hukuman yang paling ringan kepada Adiguna.

Ketika ditahan, Adiguna telah dihantar ke penjara Salemba di mana dia telah ditempatkan di dalam Blok K iaitu tempat tahanan eksekutif yang turut menempatkan beberapa banduan berprofil tinggi termasuk Gabenor Aceh Abdullah Puteh dan taikun Parti Golkar, Nurdin Halid pada ketika itu.

Malah, peguam turut mengatakan bahawa Adiguna masih boleh gelak di penjara dan dapat memesan kopi dari Starbucks dan makan nasi padang.

Perbicaraan kes pembunuhan Rudy

Profil Adiguna Sutowo Dan Kerajaan Bisnisnya

Pihak pendakwa raya telah melambatkan perbicaraan Adiguna kerana mengatakan bahawa lelaki ini perlu dimasukkan ke dalam hospital kerana serangan asma. Selepas perbicaraan bermula pada Mac 2005 di Mahkamah Daerah Jakarta Pusat, Adiguna telah tidak hadir beberapa kali atas alasan terlalu sakit dan sering lewat tiba di mahkamah.

Walaupun tak hadir ke mahkamah, penyokong-penyokong Adiguna dilihat sentiasa ada berpakaian jubah berwarna putih. Media mengatakan penyokong-penyokong ini merupakan samseng yang diupah untuk menakutkan keluarga mangsa dan hakim-hakim.

Untuk pengetahuan korang, tuduhan membunuh dengan niat tapi tanpa perancangan boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun manakala tuduhan memiliki senjata api secara haram boleh dikenakan penjara seumur hidup.

Tunang Rudy, Riska berharap bahawa Adiguna akan dikenakan hukuman mati tapi wanita ini turut pesimis terhadap sistem undang-undang di Indonesia. Pendakwa raya bagaimanapun meletakkan harapan agar Adiguna dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Ketika membuat persediaan perbicaraan kes, pihak polis telah berjaya mengambil kenyataan dari 20 saksi berhubung pembunuhan tersebut. Namun begitu, ramai saksi-saksi ini telah menarik balik kenyataan mereka atau memberikan kenyataan yang bercanggah dengan testimoni asal ketika perbicaraan.

Tinul juga turut menarik balik kenyataannya kepada polis di mana pada awalnya, wanita ini mengaku bahawa dia telah menyaksikan pembunuhan tersebut. Di mahkamah, Tinul mengatakan bahawa dia telah bertanya kepada pelayan tersebut sama ada dia boleh mengecaj minuman tersebut ke biliknya. Tapi kerana tak boleh, dia telah memberikan minuman kepada Adiguna dan mengatakan bahawa dia telah pun membayar minuman tersebut.

Tinul kemudiannya mendakwa bahawa sejurus selepas itu, dia telah bangun dan berjalan pergi sebelum mendengar bunyi tembakan sehingga dia lari tanpa menoleh ke belakang. Wanita ini turut mendakwa dia telah memberitahu isteri Adiguna, Vika bahawa sesuatu telah berlaku di bawah dan dia risau jika sesuatu berlaku kepada Adiguna.

Harry Gunawan Isa, ketua pengemasan bar juga turut menukar kenyataannya. Pada awalnya, dia telah memberitahu polis bahawa dia telah melihat seorang individu yang 50% menyerupai Adiguna mengacukan pistol kepada Rudy sebelum mendengar dua bunyi ‘klik’ diikuti dengan bunyi tembakan sebelum menyedari Rudy telah ditembak di kepala.

Tapi di mahkamah, dia telah menafikan bahawa dia telah mendengar bunyi ‘klik’ tersebut dan berkata dia tak yakin bahawa penembak tersebut menyerupai Adiguna.

DJ, Wewen juga turut memberikan testimoni yang bercanggah dari kenyataan asalnya. Dia telah memberitahu polis bahawa dia telah melihat Adiguna menembak Rudy dan melihat pelayan tersebut terjatuh ke atas lantai sebelum pistol tersebut diberikan kepadanya dan lelaki itu berlalu pergi. Tapi di mahkamah, Wewen mendakwa dia hanya melihat sekilas tangan Adiguna mengacukan pistol ke kepala Rudy.

Adiguna telah dikenalpasti sebagai pembunuh oleh seorang pelayan, Cut Nina yang bekerja pada waktu kejadian. Menurutnya, dia telah berdiri sejauh dua meter dari Rudy ketika lelaki itu ditembak. Menurutnya, dia telah mendengar Tinul cuba untuk masuk campur dalam perbalahan di antara Adiguna dan Rudy tak berapa lama sebelum tembakan tersebut berlaku.

Pengurus Besar kelab tersebut, Yerry Eka Nugraha juga memberi keterangan bahawa tiga pekerjanya telah memberitahu dia bahawa Adiguna menembak Rudy sejurus selepas tembakan tersebut berlaku.

Pada 16 Jun 2005, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun atas tuduhan membunuh dengan niat dan pemilikan senjata haram.

Hakim, Lilik Mulyadi mengatakan, walaupun tuduhan ke atas Adiguna ini boleh dibuktikan secara sah bahawa dia merupakan pembunuhnya, ada beberapa faktor yang menyebabkan hukuman ringan ini diberikan.

Antaranya, Adiguna masih muda dan mempunyai keluarga. Dia telah berkelakuan sopan sepanjang perbicaraan dan ini merupakan kesalahan pertamanya. Dia juga telah dihukum secara moral oleh media dan keluarganya turut meminta maaf atas pembunuhan tersebut.

Ketika itu, Adiguna berusia 47 tahun, tak pernah mengaku bersalah atas jenayah tersebut dan sering tak hadir perbicaraan.

Peguam keluarga Rudy, Hendrik Jehaman mengatakan bahawa hakim-hakim mahkamah telah dipengaruhi oleh status Adiguna manakala peguam pembela, Mohammad Assegaf mengatakan bahawa hukuman penjara tujuh tahun itu tak adil. Tapi, pendakwa raya, Andi Herman mengatakan yang hukuman ringan tersebut adalah perkara yang normal.

Pada Ogos 2005, Adiguna cuba membuat rayuan atas hukuman yang diterimanya itu kepada Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Agung namun kedua-dua mahkamah ini mengatakan bahawa hukuman tersebut tidak akan diubah. Manakala surat dari bapa Rudy pula tidak boleh diambil kira.

Pada 17 Ogos, Adiguna telah mendapat pengurangan penjara selama tiga bulan sempena sambutan hari kemerdekaan.

Kemudian, pada tahun 2007, Adiguna sekali lagi membuat rayuan kepada Mahkamah Agung dan kali ini, hukuman penjaranya telah dikurangkan kepada empat tahun menjadikan dia boleh dibebaskan pada tahun 2009.

Adiguna telah dibebaskan pada 14 November 2007 selepas Kementerian Keadilan memberikan pengampunan ke atasnya kerana berkelakuan baik menjadikan hukuman penjaranya kurang dari tiga tahun.

Pada 18 April 2021, Adiguna telah meninggal dunia di Hospital Pertamina, Jakarta atas sebab-sebab yang tak dijelaskan.

Sumber: Suara, Tribun, Jawawa