Bila bercakap tentang integriti, mesti ramai yang terus terfikir tentang isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan wang.
Tapi sebenarnya, nilai integriti turut memainkan peranan penting dalam memastikan kewangan negara diuruskan dengan baik, sekali gus membolehkan lebih banyak manfaat disalurkan kepada rakyat.
Menerusi video sempena Hari Integriti Nasional, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkongsi pengalamannya ketika bekerja bersama Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan pada tahun 2004.
Menurut beliau, ketika itu beliau terlibat dalam Jawatankuasa Kewangan Negeri di bawah pimpinan Datuk Husam Musa.
Beliau masih mengingati bagaimana keadaan kewangan negeri ketika itu mendorong kepimpinan negeri mencari jalan untuk meningkatkan hasil.
“Saya masih ingat Kelantan masa itu hasilnya tidak besar, jadi Menteri Besar kata tolong fikir apa lagi yang boleh kita usahakan.”
Pengalaman tersebut menjadi antara perkara yang banyak mengajarnya tentang pengurusan kewangan, termasuk kepentingan menjaga amanah dalam menguruskan wang negara.
“Menguruskan Kewangan Negara Macam Darah Yang Mengalir Dalam Tubuh”
Beliau berkata pengurusan kewangan negara tidak ubah seperti darah yang mengalir dalam tubuh.
Jika berlaku kebocoran sehingga darah keluar dengan banyak, tubuh akan menjadi lemah. Begitu juga apabila wang negara mengalami ketirisan, penyelewengan atau dibelanjakan secara berlebihan.
“Darah yang keluar itu bermakna ketirisan, kebocoran, penyelewengan, rasuah, over spending. Itu dalilnya maka negara akan menjadi lemah.”
Pengurusan Baik, Negara Berjaya Selamatkan RM15 Bilion
Saifuddin turut menyentuh kepentingan menghayati nilai integriti dalam memastikan pentadbiran kerajaan mengamalkan tata kelola yang baik.
Beliau merujuk kepada mesej Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2025 yang menekankan kepentingan tata kelola yang baik, termasuk usaha membanteras rasuah, mengelakkan penyelewengan, mengawal ketirisan dan memastikan perbelanjaan kerajaan tidak berlebihan.
Menurut beliau, sehingga penghujung tahun 2025, kerajaan berjaya menyelamatkan RM15 bilion hasil usaha yang memberi penekanan kepada pengurusan kewangan dan tata kelola yang baik.
“Angka itu menunjukkan betapa pentingnya setiap agensi kerajaan memainkan peranan dalam memastikan wang negara tidak dibazirkan atau disalahgunakan.”
Wang Negara Dijaga, Kebajikan Rakyat Turut Diberi Perhatian
Menariknya, Saifuddin turut mengaitkan pengurusan kewangan negara dengan usaha kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat.
Beliau menjelaskan bahawa apabila kewangan negara diurus dengan baik, hasil yang diperoleh boleh dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan rakyat, termasuk melalui inisiatif bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Beliau menyentuh pelaksanaan bantuan RM100 kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang layak, sebagai antara contoh bagaimana usaha kerajaan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat.
Jelasnya, integriti bukan sekadar soal mengelakkan rasuah atau memastikan seseorang menjalankan tugas mengikut peraturan.
Nilai ini juga berkait rapat dengan tanggungjawab memastikan setiap wang negara digunakan dengan sebaiknya untuk manfaat rakyat.
“Sebab itulah, amanah dalam menguruskan kewangan negara perlu dipandang serius. Apabila ketirisan dapat dikawal dan perbelanjaan diurus dengan berhemah, lebih banyak sumber dapat dimanfaatkan untuk membantu rakyat serta memperkukuh kesejahteraan negara.”
Sumber video: Facebook Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
