Video yang memperlihatkan dua murid sekolah rendah dilanggar seorang penunggang motosikal ketika sedang melintas jalan di hadapan sebuah sekolah di Seberang Perai Tengah semalam mencetuskan perhatian selepas rakaman kejadian tular di media sosial.
Menurut laporan, kejadian berlaku sekitar jam 7.20 pagi membabitkan dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia lapan dan sembilan tahun yang sedang dalam perjalanan ke sekolah.
Penunggang motosikal tampil buat laporan polis
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, penunggang motosikal terbabit tampil membuat laporan polis susulan kejadian berkenaan.
“Penunggang berkenaan hadir ke balai polis trafik untuk membuat laporan polis dan tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya.
Sementara itu, kedua-dua murid berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
Artikel berkaitan: “Nampak macam Gen Z, tapi empati tinggi” – Pemandu Ambulans Terharu Pemuda Bantu Beri Laluan Masa Jalan Sesak
Artikel berkaitan: “Pemandu bas pengsan” – Murid 7 Tahun Meninggal Dunia Lepas Dil*nggar Bas Sekolah
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 30 saat berhubung kejadian berkenaan tular di media sosial.
Kedua-dua mangsa pada mulanya dilihat melintas jalan menggunakan lintasan pejalan kaki sambil ditemani seorang lelaki dewasa.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan hanya memimpin mereka sehingga ke pertengahan jalan sebelum berpatah balik dan ketika itu sebuah motosikal tiba dan merempuh dua murid berkenaan.
Menerusi video sama, penunggang motosikal dilihat berhenti seketika dan memberi penjelasan kepada pengawal keselamatan sekolah yang bergegas memeriksa keadaan mangsa.
Sumber: Berita Harian
