Rindu Najib? Baru semalam, bekas Perdana Menteri Malaysia ni telah mengadakan siri temubual khas yang pertama dengan agensi berita luar negara, Reuters semenjak kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU lepas. Pelbagai isu yang dibincangkan dengan PM ke-6 ni, antaranya melibatkan skandal 1MDB dan rampasan beg tangan isteri, Rosmah Mansor.
Nak tahu soalan panas lain lagi yang dijawab oleh Najib dengan selambanya? Nah kami senaraikan 10 soalan hot yang dijawab bekas PM dalam sesi temubual khas tersebut.
1. Skandal 1MDB
Ini apa yang Najib jawab:
“Saya tidak mendapat manfaat daripada 1MDB kerana saya percaya 1MDB ditubuhkan untuk melakukan sesuatu yang baik untuk negara. Jika saya tahu akan ada penyelewengan dana, pastinya saya akan bertindak.”
Adakah Datuk Seri salahkan ahli lembaga 1MDB untuk masalah dana itu?
“Tidak. Saya katakan sebagai prinsip umum, jika mereka tahu bahawa sesuatu tidak betul, maka adalah kewajipan mereka untuk memberitahu saya. Ia adalah kewajipan ahli lembaga dan pihak pengurusan untuk melakukan sesuatu yang dirasakan betul dan mengikut undang-undang.”
2. Jho Low
Ini apa yang Najib jawab:
“Kami tidak dapat mengawal apa yang dilakukannya, saya tidak dapat menghakimi, tetapi ada perkara tertentu yang mungkin dilakukannya atau mungkin tidak dilakukan, tetapi saya benar-benar mengatakan bahawa siasatan perlu diteruskan dan jika sesiapa didapati menyalahi undang-undang, biarkan proses perundangan mengambil tindakan.
“Dia tidak bekerja bagi pihak saya. Semua barangan miliknya dia tidak pernah membabitkan nama saya, tetapi dia mengatakan dia bertindak untuk orang lain.”
Jho Low bekerja untuk siapa?
Anda perlu bertanya kepadanya sendiri.”
3. Barang kemas, set berlian merah jambu untuk Rosmah Mansor
Ini apa yang Najib jawab:
“Saya tidak tahu sumber sebenar dana untuk barangan ini datangnya dari mana, tetapi saya tahu ketika saya bertanya kepada isteri dan dia mengatakan ada satu barang yang sepatutnya menjadi hadiah untuknya, tetapi dia tidak pernah menerimanya.”
4. Kenapa Najib tak banyak komen mengenai dakwaan 1MDB?
Ini apa yang Najib jawab:
“Semua perkara ini berlaku di luar Malaysia, ada beberapa ramalan antarabangsa jika saya katakan, (kerana saya akan memetik nama beberapa tokoh terkemuka) yang mungkin menjejaskan hubungan diplomatik dengan mereka.”
5. Anak tiri guna dana 1MDB untuk hasilkan filem
Ini apa yang Najib jawab:
“Saya ingin membuat pengakuan bahawa Riza melakukannya dengan baik. Filem terbitannya pecah panggung dan mendapat kutipan sehingga AS$800 juta. Saya tidak perlu bimbang kerana ia perkara yang menguntungkan. Namun, saya serahkan kepada siasatan berhubung pembiayaan filem berkenaan.
6. Wang AS$681 juta yang dipindahkan ke akaun peribadi Najib pada 2013
Ini apa yang Najib jawab:
“Pada (PRU-14) lalu, saya tidak mahu menerima sebarang pembiayaan daripada syarikat kerana mereka akan mengharapkan sesuatu sebagai balasan.
“Jika saya mempunyai sumber dana sendiri, saya boleh membiayai pilihan raya dan saya boleh melakukan banyak CSR (tanggungjawab sosial korporat) tanpa kerja yang diwajibkan kepada sesiapa saja. Itulah niat sebenar saya yang anda lihat dan saya menganggap semuanya baik-baik saja.”
7. Kekalahan PRU14
Ini apa yang Najib jawab:
“Saya tidak menjangkakan ia menjadi bencana seperti ini, walaupun saya mungkin boleh kehilangan beberapa kerusi, tetapi saya tidak mengharapkan kejadian seperti ini, hasilnya yang teruk.
“Ia pengalaman yang membuatkan kami semua trauma dan anda boleh bayangkan, untuk sebuah parti yang ditubuhkan selama lebih 60 tahun. Sejarah Malaysia pada dasarnya adalah sejarah UMNO dan Barisan Nasional.
“Mereka (pembangkang) datang dengan tuduhan yang sangat menakutkan untuk memfitnah saya dan kerajaan. Malangnya selepas tempoh masa, ia mengubah pandangan umum.”
8. Tentang Tun Dr Mahathir Mohamad
Ini apa yang Najib jawab:
“Dia tahu BN, dia tahu perkhidmatan awam. Dia tahu segala-galanya mengenai sistem itu supaya dia beroperasi dari dalam sehingga mempunyai kelebihan berbeza.
“Dia cukup pandai meringkaskan segala-galanya dengan istilah sangat mudah dan mengulang kisah sama, perkara yang sama berulang kali.”
9. Rampasan wang tunai RM114 juta
Ini apa yang Najib jawab:
“Saya menegaskan ia daripada sumbangan yang betul, serbuan itu berlaku hanya dua hari selepas PRU-14. Sebagai presiden parti, saya terpaksa bersiap sedia untuk pilihan raya kerana pilihan raya itu sangat berharga.
“Disebabkan sumbangan dibuat secara tunai pada pilihan raya, anda tidak akan menghantar cek ketika pilihan raya kerana orang mahu wang tunai untuk membayar hal sepatutnya.”
10. Pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu
Ini apa yang Najib jawab:
“Kes Altantuya sedang disiasat, tidak ada bukti apa pun yang pernah saya jumpa mengenainya, tidak ada rekod, tiada gambar atau saksi mengatakan saya mengenalinya. Ia tertakluk kepada percubaan yang sepatutnya dan nama saya tidak terkait ketika perbicaraan, saya bersumpah dalam masjid atas nama Allah SWT bahawa saya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kes itu.”
Kesemua soalan dan jawapan daripada hasil temubual ni telah dilaporkan Harian Metro.
So puas hati tak dengan jawapan yang diberi bekas PM tentang semua isu panas ni? Beri pendapat anda di ruang komen.