Pengguna perkhidmatan pengangkutan awam Rapid KL Laluan Shah Alam awal pagi tadi dikejutkan dengan gangguan perkhidmatan sementara yang menyebabkan tren terhenti di beberapa stesen.
Bagaimanapun, punca utama gangguan berkenaan bukanlah disebabkan oleh masalah teknikal atau kerosakan tren, sebaliknya akibat tindakan irasional seorang individu.
Artikel berkaitan: “Sayangnya arwah abah tak sempat tengok…” – Kisah Dua Generasi Terlibat Projek LRT Undang Sebak Netizen
Artikel berkaitan: Isu Kerosakan LRT Rapid KL Jadi Topik Hangat, Netizen Di Threads Kongsi Cadangan Yang Boleh Diperbaiki
View on Threads
Suspek Ceroboh Landasan Di Stesen Jalan Meru
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Rapid Rail Sdn Bhd, insiden pencerobohan itu dikesan berlaku di kawasan landasan Stesen Jalan Meru pada jam 6.15 pagi.
Tindakan nekad suspek menceroboh kawasan larangan tersebut telah memaksa pihak operasi mengambil langkah keselamatan serta-merta bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Sejurus insiden dikesan, petugas operasi bersama anggota Polis Bantuan telah bertindak pantas mengesan dan menahan suspek,” kata kenyataan itu.
Suspek kemudiannya telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibawa ke Balai Polis Bandar Baru Klang untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Tren Dihentikan 30 Minit Demi Keselamatan
Bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa terjamin dan keadaan landasan selamat sebelum operasi disambung semula, perkhidmatan tren dihentikan sementara di antara Stesen Jalan Meru ke Stesen Jambatan Kota selama kira-kira 30 minit.
Langkah penguatkuasaan dan pemeriksaan rapi telah dijalankan di sepanjang kawasan terjejas sebelum perkhidmatan kembali beroperasi seperti biasa.
Pihak Rapid KL turut menzahirkan permohonan maaf atas kesulitan yang dialami oleh para penumpang dan menegaskan bahawa keselamatan pengguna sentiasa menjadi keutamaan pihak mereka.
