Kata pepatah Inggeris, curiosity killed the cat.
Insiden yang berlaku di United Kingdom ini sangat sesuai untuk menggambarkan maksud pepatah itu.
Memetik laporan Oddity Central, seorang remaja terpaksa menghabiskan 10 hari di wad dalam keadaan tidak boleh bergerak dan kerap memuntahkan cecair hijau selepas dia mengalami kebocoran usus.
Rhiley Morrison, 12, yang dilapor menghidap Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD) dikejarkan ke Salford Royal Hospital selepas dia memberitahu ibunya pada 5 Januari lalu yang dia tidak sengaja tertelan dua magnet.
Walau bagaimanapun, selepas menjalani ujian X-ray, doktor mengesyaki Riley sebenarnya sudah menelan lebih 25 biji bebola magnet.
Menurut ibu remaja terbabit, anaknya dikejarkan ke Royal Manchester Children’s Hospital untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bebola magnet berkenaan.
“Doktor mengesyaki dia (Rhiley) ada 25 hingga 30 bebola magnet dalam perutnya. Tapi, selepas pembedahan, doktor beritahu mereka telah mengeluarkan 54 bebola magnet,” kata ibu remaja itu.
Nak tahu magnet akan melekat di dalam perut & keadaan magnet lepas keluar
Sebelum kejadian itu, Rhiley yang berasal dari Greater Mancester, United Kingdom telah menerima bebola magnet terbabit sebagai hadiah pada Hari Krismas.
Disebabkan terdorong rasa ingin tahu yang tinggi, Rhiley telah menelan bebola magnet itu untuk mengetahui sama ada objek berkenaan akan melekat di dalam perutnya dan bagaimanakah keadaan magnet itu selepas ia keluar.
Namun begitu, eksperimen yang dilakukan Rhiley tidak menjadi seperti dirancang selepas remaja itu gagal mengeluarkan objek itu dari badannya lalu segera memberitahu ibunya beberapa hari kemudian.
Pada 21 Januari lalu, Rhiley sudah dibenarkan keluar hospital namun, dia dibekalkan antibiotik untuk mengelakkan jangkitan pada usus.
Sumber: Oddity Central
Baca: “Macam mana boleh masuk?” – Rasa Susah Nak Bernafas, Bila X-Ray Rupanya Lelaki Ini Tertelan AirPod