Perkara yang paling menggerunkan para ibu ialah apabila bayi kesayangan mereka ditinggalkan kepada pengasuh yang tidak dikenali. Sudah banyak kes yang berlaku. Ada bayi yang meninggal, ada pula yang menerima kecederaan yang teruk akibat didera pengasuh.
Namun baru-baru ini, Ashley England memilih untuk menceritakan pengalamannya kepada Daily Mail supaya para ibu tidak terlalu percaya akan pengasuh.

Menurut Ashley, Landon yang berusia tujuh bulan telah dibaling ke atas lantai oleh pengasuhnya yang mengakibatkan kecederaan parah terhadap kepala bayi tersebut. Akibat daripada kecederaan dan trauma tersebut, doktor menjangkakan Landon tidak dapat melihat, mendengar mahupun bergerak lagi.

Malah pada satu masa, doktor menyangka bayi tersebut berkemungkinan akan mati.
Walaupun begitu, siapa sangka akan keajaiban dari Tuhan? Landon perlahan-lahan pulih dan kini sudah pun berusia 18 bulan.
Titik hitam dalam hidup Landon bermula pada Jun 2016 lepas, apabila pengasuh yang juga kawan kepada keluarganya, Caleb Collins diminta menjaga bayi Landon yang baru berusia tujuh bulan.

Caleb pada awalnya menghubungi polis untuk melaporkan kononnya bayi di bawah jagaannya itu terjatuh secara tidak sengaja dari pangkuan.
Namun setelah disoal siasat polis, Caleh mengaku bahawa dia menyebabkan kecederaan serius terhadap Landon apabila bayi tersebut merangkak ke arah Play Station 4 miliknya dan menarik salah satu kabel dari permainan video itu.
Oleh kerana tidak mahu alat permainan video tersebut jatuh, Caleb secara paksa membaling Landon ke belakang, mengakibatkan bayi tersebut melayang ke udara sebelum kepalanya jatuh dahulu menghentak ke lantai.
Susulan dari pengakuan itu, Caleb didakwa atas cubaan membunuh dan penderaan kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan serius pada tubuh. Dia akhirnya dikenakan hukuman penjara 18 tahun.

Meskipun Landon masih lagi bernafas dalam keadaan tidak sedar, tengkoraknya retak dan bahagian hadapan otaknya mengalami pendarahan. Keadaan ini menyebabkan para doktor menyimpulkan bahawa Landon tidak boleh bertahan lama dan ada pada satu ketika mereka pernah berbincang untuk menarik diri dari merawatnya lagi.

Pun begitu, takdir Tuhan mengatasi segala-galanya. Landon berjuang untuk terus hidup dan hari demi hari dia membuat kemajuan yang besar seperti berguling, berceloteh dan kini mampu melihat semula selepas buta berbulan-bulan lamanya.

Dengan menceritakan pengalamannya kepada semua, Ashley berharap ibu bapa di luar sana akan lebih peka dengan realiti sebenar tentang bahayanya pengasuh tanpa pantauan dan bagaimana caranya untuk mengelak dari hal ini terus berlaku.

Buat masa ini keluarga Landon telah membuka akaun GoFundMe untuk membantu dari segi kos perubatan bayi tersebut. Mereka telah berjaya mengumpul $7,335 bersamaan RM31,845.
Sebelum hantar anak ke mana-mana pusat jagaan, ibu bapa haruslah teliti dahulu latar belakang pengasuh yang ada di situ. Kasihan anak yang tidak berdosa tiba-tiba jadi mangsa…