Pasukan Tindakan Segera atau dikenali sebagai Skuad Pantas Majlis Perbandaran Klang (MPK) kini dikhabarkan dalam keadaan bersiap siaga 24 jam bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku tak lama lagi.
Difahamkan sekiranya ia berlaku, Klang dijangka menghadapi bencana banjir dan menurut Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, beberapa pos gerakan sementara telah diwujudkan oleh pasukannya di kawasan tertentu.
Kawasan-kawasan yang dimaksudkan adalah kawasan yang sering dilanda banjir di Klang dan dengan adanya Skuad Pantas ini, bantuan awal dari segi keselamatan dan logistik sekiranya berlaku sebarang kecemasan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Jabatan penguatkuasa MPK turut memantau lokasi hotspot yang sering berlaku banjir melalui kamera litar tertutup (CCTV) MPK”
Difahamkan, selain dengan pos gerakan sementara dan Skuad Pantas tersebut, beberapa kawasan ‘panas’ atau hotspot yang dikenalpasti sering terjadinya bencana banjir di Klang akan turut dipantau pihak MPK melalui CCTV yang ada di kawasan berkenaan.
Untuk makluman, fenomena yang sama tahun lepas telah menyebabkan beberapa kawasan di Klang dan Sabak Bernam terjejas selain paras aras laut ketika itu dilaporkan merupakan paling tinggi dalam tempoh 20 tahun kebelakangan.
Walaubagaimanapun, orang awam di kawasan yang terlibat dinasihati supaya berhati-hati selain perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan akibat daripada fenomena ini. Sebarang aduan berkait bencana boleh disalurkan terus kepada Bilik Gerakan Pejabat Penguatkuasa di talian 03-3701095.