Tular satu rakaman video memaparkan sekumpulan pelajar merusuh dan memukul seorang lelaki dewasa di hadapan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seri Kembangan sehingga mengundang pelbagai reaksi di media sosial.
Menurut laporan, lelaki dewasa itu merupakan seorang bapa dan anaknya berusia 16 tahun turut mengalami kecederaan selepas dipercayai dipukul oleh sekumpulan pelajar terbabit.
Sehubungan itu, beberapa individu yang terlibat telah ditahan polis dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya hari ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Artikel berkaitan: “Berisiko tinggi untuk sawan tiba-tiba” – Kes Buli Sampai Retak Tengkorak, Ibu Pelajar Kongsi Keadaan Terkini Anak
Artikel berkaitan: Tular Video Pelajar IKBN Dihayun Beramai-ramai Ke Tiang, KBS Gesa Siasatan Penuh

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari pada 3 Julai lalu ketika mangsa menuju ke motosikalnya yang diletakkan di luar kawasan sekolah.
“Pelajar terbabit kemudian dipanggil oleh beberapa pelajar lelaki dari sekolah sama sebelum dikepung dan dipukul oleh kesemua suspek.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan termasuk luka pada bibir dan lutut selain lebam serta sakit di seluruh badan,” katanya.
Beliau berkata, bapa mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan berkenaan turut menjadi mangsa apabila dipukul sehingga terjatuh di atas jalan raya. Bapa mangsa juga mengalami kecederaan pada tangan dan kaki selain sakit di seluruh badan.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sumber: Sinar Harian
