Ibu kepada remaja lelaki berkongsi keadaan terkini anaknya yang cedera parah termasuk mengalami pendarahan dalam otak serta keretakan pada tengkorak selepas menjadi mangsa pukul oleh empat remaja dalam video tular, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di media sosial, Zulaikha Sabri mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang prihatin, memberi sokongan serta mendoakan kesembuhan anaknya.
Menurut Zulaikha, meskipun anaknya kini semakin menunjukkan perkembangan positif, tetapi proses pemulihan masih panjang kerana kecederaan dalaman yang dialami memerlukan pemantauan rapi.
“Alhamdulillah kesihatan luaran beransur pulih. Dah boleh makan dan bergerak perlahan macam biasa.
“Cuma dalaman tu masih dalam tempoh penyembuhan. Pada minggu pertama kejadian, dia alami sakit kepala yang teruk dan muntah berterusan,” ujarnya.

Katanya, tempoh penyembuhan keretakan tulang tengkorak mengambil masa sekurang-kurangnya enam hingga 12 bulan.
Sepanjang tempoh itu, anaknya perlu menjalani pemeriksaan susulan setiap bulan dan sentiasa dipantau kerana kecederaan di bahagian kepala berisiko tinggi untuk sawan secara tiba-tiba serta komplikasi lain.
“Dia tak boleh buat apa-apa aktiviti lasak sepanjang tempoh 12 bulan ni. Bila kembali ke sekolah nanti, dia tak boleh menyertai apa-apa aktiviti sukan, permainan dan PJK.”
Artikel berkaitan: Video Tular B*lasah Rakan Sampai Pendarahan Otak, Polis Sahkan 4 Remaja Umur 14 Tahun Ditahan
Artikel berkaitan: Remaja Buli Rakan Sekolah, Cacah Tatu Ikan Kap Secara Paksa Pada Kaki Mangsa
Lebih memilukan, ibu mangsa berkata anaknya masih berdepan trauma akibat insiden tersebut.
“Sepanjang 3 minggu ini dia nampak seperti ketakutan untuk hidup seperti biasa. Dia perlukan saya sepanjang masa. Dia takut dia diserang lagi,” ujarnya.
Dalam masa sama, dia memaklumkan siasatan kes masih berjalan dan tidak dapat berkongsi perkembangan secara terperinci kepada umum.
Dia turut mengesahkan bahawa tuntutan pampasan di Tribunal Antibuli telah dibuat, manakala urusan tindakan undang-undang akan dikendalikan oleh peguam.
“Doakan moga kejahatan ini mendapat keadilan yang maksima.”
Mengakhiri perkongsian, Zulaikha menyifatkan anaknya seorang yang baik dan rajin membantunya, selain menjadi harapan buat keluarga.
Sumber: Facebook
