Seorang suspek kes bunuh yang juga bekas calon pilihan raya, Lau Seck Yan, 56, baru-baru ini telah mengejutkan Mahkamah Tinggi Seremban apabila dia mendakwa telah dirasuk mangsa yang juga mendiang suaminya.
Menurut FMT, memetik sumber dari Oriental Daily News, Lau Seck Yan katanya telah meminta kebenaran daripada Hakim Rohani Ismail untuk bercakap.

Dia kemudian memberitahu bahawa badannya kini telah ‘dihuni’ roh suaminya, Poh Seng Hiap, 55, untuk bercakap kepada mahkamah akan satu perkara.
“Isteri tak bunuh saya, ia dah ajal”
Lebih mengejutkan lagi, Lau yang kononnya dikatakan bercakap bagi pihak Poh telah memberitahu bahawa Lau bukanlah individu yang membunuhnya dan perkara yang berlaku ke atas Poh adalah disebabkan ‘ajal’.
Saya Poh Seng Hiap, si mati, saya yang sedang bercakap di dalam mahkamah ini.
“Isteri saya tidak bunuh saya… Isteri saya tidak berbuat apa-apapun,” kata Lau.
Walau bagaimanapun, Hakim Rohani Ismail kemudian mengingatkan Lau bahawa perbicaraannya belum bermula dan suspek tidak sepatutnya membuat sebarang kenyataan berhubung kes itu.

Namun Lau tidak mengendahkan teguran itu dan terus bercakap sebagai ‘roh suaminya’ dengan mengatakan dia tidak bersalah.
Poh Seng Hiap tidak dibunuh, ia dah ajal. Poh Seng Hiap sedang bercakap sekarang.
“Kamu kena faham yang isteri saya tidak membunuh saya. Saya Poh Seng Hiap di sini. Kenapa kamu tak nak dengar cakap saya yang isteri saya tak bunuh saya. Saya telah ditakdirkan untuk mati,” katanya lagi sebelum dipujuk untuk berhenti bercakap.
Terdahulu, Lau yang juga bekas pensyarah merupakan calon Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada 2018.
Dia telah didakwa atas pertuduhan membunuh suaminya pada 23 Januari lepas di rumah mereka dekat Rasah Kemayan Golf and Country Township antara jam 3.30 petang dan 4.30 petang.
Mangsa telah ditemui maut dengan kesan tikaman pada dada dan abdomen.
Hakim Rohani Ismail telah menetapkan tarikh perbicaraan pada 1 hingga 3 Mac dan 17 hingga 21 Mei 2025.
Baca: Kes Bunuh Di Cyberjaya Berleluasa, Ini 5 Kes Yang Buatkan Ramai Seram Sejuk

