Wanita Indonesia, Mondy Tattoo yang pernah menjadi perhatian sebelum ini susulan kontroversinya dengan pendakwah Ebit Lew ditahan polis untuk membantu siasatan berhubung satu kes pembunuhan yang berlaku di Bekasi.
Mondy atau nama sebenarnya Dita Restu Amanda, 25, dilaporkan dibawa ke Balai Polis Cikarang Barat selepas dipercayai berada di lokasi kejadian ketika insiden berlaku.
Bagaimanapun, pihak polis menjelaskan bahawa Mondy bukanlah suspek dalam kes berkenaan, sebaliknya hanya dipanggil sebagai saksi untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.
Menurut laporan, kejadian yang berlaku pada awal pagi Sabtu lalu mengorbankan seorang lelaki dikenali sebagai Faisal Anwar, 29, selepas dipercayai ditikam oleh rakannya sendiri.

Artikel berkaitan: “Ibu mana tak takut” – Ibu Mondy Tattoo Dedah Ustaz Derry Takut-takutkannya?
Artikel berkaitan: [VIDEO] Ebit Lew Bantu Janda Anak Satu Bertatu Dari Jakarta, Bawa Pulang Bekerja Di Malaysia
Hasil siasatan awal mendapati pembunuhan itu dipercayai berpunca daripada konflik cinta tiga segi yang membabitkan mangsa, suspek dan Mondy.
Susulan itu, berlakunya pertengkaran antara mangsa dan suspek sehingga mengakibatkan kematian.
Menurut polis, mangsa mengalami beberapa kesan tikaman di dada dan perut sebelum disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan.
Difahamkan, Mondy menjalinkan hubungan dengan suspek sejak 2024. Pada masa sama, mangsa juga dikatakan mempunyai hubungan rapat dengannya dan mereka dipercayai tinggal bersama di sebuah rumah sewa di Cikarang Barat.
Sementara itu, suspek utama kes berkenaan dilaporkan telah menyerah diri kepada pihak polis sehari selepas kejadian dan kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Polis sedang melengkapkan siasatan dengan mendapatkan keterangan saksi lain bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.
Sumber: Sinar Harian
