Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir pernah dikritik selepas beliau mengeluarkan kenyataan tidak menyokong parti politik berteraskan orang muda yang akan ditubuhkan oleh Syed Saddiq.
Untuk rekod, Tun Mahathir pada ketika itu menjelaskan bahawa dia percaya parti yang bakal diketuai oleh anak muda ini tidak akan berjaya pada masa akan datang.
Memetik laporan wawancara Malaysiakini, Tun Mahathir berpendapat rancangan Syed Saddiq itu akan memecah belah lagi sokongan pengundi, khususnya dalam kalangan bangsa Melayu.
Sambung Tun Mahathir lagi, beliau hanya tidak menyokong Syed Saddiq dalam soal politik, namun hubungan peribadinya bersama ahli parlien Muar itu masih baik.
“Saya kata dengan dia, kalau kita ada banyak parti, kita lawan sama kita, nanti kita kalah. Orang lain nanti menang, jangan pecahkan undi Melayu, itu saja”
“Kalau awak ambil orang muda, orang tua tinggal sini (Pejuang) siapa nak sokong parti baru ini? Habis lah jadinya bila banyak parti”
Mengulas lanjut, Tun Mahathir juga menyifatkan orang Melayu tidak pandai dalam berpolitik. Tegasnya, orang Melayu akan mencipta parti baru jika tidak dapat apa yang dikehendaki dalam parti sedia ada. Hal ini akan membuatkan undi bangsa Melayu berpecah.
Kalah PRK sebab Najib
Turut mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, Tun Mahathir berpendapat parti Pejuang tewas kerana propaganda yang dimainkan oleh bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.
“Dia boleh kata ini penipuan, dia tak buat salah, yang sebenarnya orang tipu dia. Orang Melayu dia simpati lah, kata boss dia nak masuk penjara.
“Dia boleh kata ‘bossku apa nak malu’, kalau bossku mencuri pun nak malu apa, lagi pun ada orang Melayu kata biar lah dia curi, dia bukan curi duit kita. Dia curi duit org lain,” kata Mahathir.
Sumber: Malaysiakini
BACA: “Tubuh parti anak muda macam tak hormat orang lama” – BN Johor