in

Lebih 6,800 Prospek Berjaya Dintegrasi Semula Dalam Pasaran Buruh Sejak 2020

Collage 10

Seramai 6,846 prospek ditawarkan pekerjaan sejak 2020 hingga Ogos 2026 membuktikan keberkesanan agenda integrasi semula golongan ini dalam masyarakat.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, usaha ini digerakkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)  bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing khususnya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk suku kedua 2026, jumlah guna tenaga di Malaysia kini mencecah 16.77 juta orang, dengan lebih 2.13 juta atau 12.7 peratus daripadanya terdiri daripada pekerja asing.

Data MYFutureJobs sehingga 21 Ogos 2026 turut menunjukkan terdapat 57,731 kekosongan dalam sektor pembuatan, 19,297 dalam sektor pembinaan, 3,283 dalam sektor pertanian, serta ribuan lagi peluang dalam sektor-sektor yang memerlukan tenaga kerja tempatan.

Ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memanfaatkan tenaga kerja tempatan secara lebih inklusif dan menyeluruh, termasuk menghargai potensi prospek sebagai penyumbang produktiviti kepada masyarakat dan ekonomi,” jelasnya.

Sementara itu, beliau menegaskan agenda peluang kedua ini menuntut kesediaan semua pihak. Kerajaan membuka jalan, majikan memberi kepercayaan, dan masyarakat menerima golongan prospek kembali ke dalam arus perdana.

“Pendekatan integrasi semula menerusi pekerjaan turut diamalkan di negara seperti Singapura dan Jepun yang menghubungkan proses pemulihan dengan latihan kemahiran dan penempatan kerja.

Justeru, penganjuran karnival kerjaya yang berorientasikan prospek ini adalah sebahagian inisiatif Kerajaan MADANI dalam integrasi semula mereka kembali kepada masyarakat melalui pekerjaan.

Karnival hari ini menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan untuk 800 prospek dengan penglibatan 35 majikan melibatkan pelbagai sektor bersama lima agensi sokongan dan rakan strategik yang menyediakan sokongan latihan, kerjaya, keusahawanan dan bantuan pekerjaan,” katanya ketika merasmikan Karnival Mega LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs & Keusahawanan Tiada Yang Terpinggir” 2026 Zon Tengah.

Pada edisi karnival jelajah nasional 2026, seramai 1,264 prospek dengan penyertaan 59 majikan yang berjaya menawarkan 885 pekerjaan kepada prospek.

Selain itu, sempena karnival kali ini, KESUMA menerusi PERKESO dan Jabatan Penjara Malaysia julung kali memperkenalkan IKON Awards, sebuah pengiktirafan baharu bagi mengetengahkan kisah kejayaan prospek yang berjaya membina kerjaya selepas menjalani hukuman.

Khairul Firdaus memberitahu, kejayaan kini bukan diukur dengan penempatan pekerjaan sebaliknya turut mengambil kira pengekalan pekerjaan bekas prospek dan perkembangan kerjaya dalam jangka panjang.

Justeru, saya berharap majikan yang masih bergantung kepada tenaga kerja asing supaya mempertimbangkan golongan prospek sebagai sebahagian sumber tenaga kerja tempatan bagi jawatan yang bersesuaian,” katanya.