Ada banyak sebab yang mendorong seseorang itu untuk membunuh orang lain. Kebanyakan kes pembunuhan yang melibatkan orang terdekat seperti pasangan sendiri adalah disebabkan harta.
Bagi dua adik beradik, The Menendez Brothers, mereka telah tergamak membunuh ibu bapa sendiri sebelum menghabiskan masa berbulan-bulan berjoli sakan sebelum ditahan dan didakwa atas pembunuhan tersebut.
Pihak pendakwa raya mengatakan bahawa dua adik beradik ini telah membunuh kerana mahu mewarisi harta keluarga mereka bernilai jutaan ringgit, namun begitu adik beradik ini dedahkan ‘kisah hitam’ yang mendorong mereka untuk buat pembunuhan kejam ini.
Kes The Menendez Brothers ini jelasnya telah mengejutkan ramai orang dan merupakan salah satu kes jenayah berprofil tinggi yang sangat popular. Malah sehingga hari ini ramai yang berbelah bahagi, ada yang menyokong adik beradik ini dan ada juga yang tak percaya dengan cerita mereka.
Artikel berkaitan: Hidap Macam-macam Penyakit, Tak Sangka Gadis Ni Plan Bunuh Ibu Kandung Dengan BF Sebab…
Artikel berkaitan: Suspek Utama Kes Bunuh Ratu Cantik Tahun 1979 Dah Meninggal, Ini Kisah Yang Ramai Tak Tahu
The Menendez Brothers: Kehidupan awal yang penuh dengan kemewahan
Sebagai kanak-kanak, Lyle dan Erik Menendez memang mempunyai segala-galanya. Dilahirkan pada tahun 1968 dan 1970, dua adik beradik ini telah dibesarkan di New Jersey oleh bapa mereka Jose, seorang pendatang dari Cuba yang bekerja sendiri serta ibu mereka, Kitty yang merupakan bekas ratu cantik.
Sebagai seorang pendatang, Jose telah bermula dari bawah, bekerja sebagai pembasuh pinggan di sebuah restoran sebelum menjadi eksekutif berjaya dalam bidang hiburan. Ekoran ini, dia telah mendorong dua anak lelakinya dengan kuat sejak dari kecil lagi bagi menjadikan mereka bintang tenis terhebat.
Selain itu, sejak dari kecil juga Jose dilaporkan telah mendidik anak-anaknya untuk tahu bercakap dengan orang dan mampu berkomunikasi tentang pelbagai topik termasuk politik, perniagaan dan macam-macam lagi.
Kalau dilihat dari luaran, mereka seperti keluarga yang sempurna. Lyle dan Erik dilahirkan dengan kemewahan, tinggal di rumah yang besar. Bapanya seorang yang bijak dan sering bekerja keras manakala ibunya pula sering meluangkan masa bersama mereka.
Namun begitu, selepas berpindah ke selatan California pada tahun 1986, keluarga ini mula mempunyai masalah apabila Erik dan Lyle telah membuat kacau dengan mencuri barang jiran-jiran mereka.
Perbuatan dua beradik ini jelasnya telah menimbulkan kemarahan Jose yang kemudiannya telah menukar wasiat supaya anak-anaknya ini tak dapat semua hartanya dan lelaki ini juga turut berfikir untuk buang anak-anaknya dari menerima hartanya.
Tak sempat berbuat demikian, Jose dan Kitty telah dibunuh dengan kejam.
Pembunuhan Jose dan Kitty Menendez
Pada 20 Ogos 1989, Lyle telah membuat panggilan kepada 911 mengatakan bahawa seseorang telah menembak dan membunuh kedua-dua ibu bapanya. Manakala ketika pihak polis sampai, Erik sedang menangis histeria di luar rumah.
Menurut dua beradik ini, pada petang kejadian mereka telah keluar untuk menonton wayang. Tapi ekoran mereka tertinggal kad pengenalan di rumah, mereka telah berpatah balik sebelum menemui kedua ibu bapa mereka terbunuh.
Jose telah ditembak sebanyak lima kali di atas sofa manakala Kitty yang cuba melarikan diri telah ditembak sebanyak 10 kali.
Ekoran kesedihan yang ditunjukkan oleh dua adik beradik ini, pihak polis tidak mengikut protokol yang ditetapkan semasa memeriksa tempat kejadian. Termasuk tidak membuat ujian melihat sisa tembakan pada tangan dua beradik ini dan soal siasat rasmi juga hanya dibuat selepas dua bulan pembunuhan ini berlaku.
Pembunuhan kejam ini dilihat seperti pembunuhan yang dibuat oleh gangster.
Pihak polis mula berasa curiga beberapa bulan selepas kematian Jose dan Kitty selepas Lyle dan Erik telah menggunakan wang tinggalan bapa mereka sebanyak $700,000 dari $14 juta dalam masa enam bulan. Duit tersebut telah dijoli oleh dua beradik ini dengan membeli kereta, jam dan percutian mewah.
Tak cukup dengan itu, Dektektif Les Zoeller turut mendapat tahu bahawa Erik telah menulis satu skrip cerita yang mengisahkan mengenai seseorang yang membunuh ibu bapa mereka untuk mewarisi kekayaan.
Selain itu, dorang juga perasan yang dua adik beradik ini juga turut memberikan butiran yang pelik bila ditanya mengenai malam kejadian pembunuhan ibu bapa mereka. Mereka mengatakan yang dorang dapat lihat asap senjata di udara, ia sepatutnya hilang tak berapa lama selepas tembakan dilepaskan.
Kecurigaan pihak berkuasa akhirnya dibuktikan selepas seorang wanita yang merupakan perempuan simpanan pakar terapi Dr. Jerome Oziel telah memberikan rakaman suara Erik dan Lyle mengaku telah membunuh ibu bapa mereka.
Pada Mac 1990, Lyle dan Erik telah ditahan.
Perbicaraan The Menendez Brothers
Kalau korang nak tahu, perbicaraan dua beradik ini telah disiarkan di Court TV dan ketika itu, rakyat di sana memang mengikuti “drama” kes ini dari langsung dari rumah mereka.
Ketika perbicaraan ini, Lyle dan Erik memberitahu bahawa pembunuhan ini dilakukan ekoran penderaan emosi, fizikal dan seksual yang terpaksa dilalui oleh mereka selama bertahun-tahun.
Bukan sahaja mereka telah dipukul dan dilibas dengan tali pinggang, dua beradik ini juga turut mengatakan bahawa mereka adalah mangsa seksual bapanya, Jose.
Menurut Lyle, bapanya telah mula melakukan gangguan seksual dan merogolnya dari dia berumur enam tahun sehingga lapan tahun.
Manakala Erik mengatakan dia telah dipaksa untuk memberikan seks oral kepada bapanya sambil didera.
Tak cukup dengan itu, dua adik beradik ini juga turut mendakwa yang mereka turut melakukan hubungan sumbang mahram dengan ibu mereka, Kitty. Dikatakan, ketika mereka remaja, dorang telah tidur bersama ibu mereka bila Jose ada urusan di luar kota.
Walaupun dua beradik ini telah mendedahkan pengalaman ngeri yang dilalui oleh mereka, pihak pendakwa raya tetap yakin bahawa Lyle dan Erik membunuh Jose dan Kitty untuk mendapatkan harta.
Mahkamah Tinggi California kemudiannya membenarkan rakaman pengakuan pembunuhan untuk dimainkan di mahkamah dan pihak penyiasat menemui bahawa dua beradik ini telah membeli senjata yang digunakan untuk pembunuhan tersebut dengan kad pengenalan curi. Tak cukup dengan itu, Lyle juga sempat mengubah semula wasiat bapanya tak lama selepas kematian tersebut.
Perbicaraan ini kemudiannya diakhiri dengan mistrial ekoran juri tidak boleh mencapai kata sepakat. Kes ini kemudiannya dibicarakan semula pada tahun 1996 di mana dua beradik ini telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Lyle dan Erik sekarang
Ketika dijatuhkan hukuman pada tahun 1996, dua beradik ini telah dihantar ke penjara berasingan. Namun kini mereka di satu penjara yang sama. Lyle dan Erik telah pun berkahwin dan telah bersifat terbuka untuk bercakap mengenai jenayah mereka kepada media.
Saya adalah budak yang bunuh ibu bapa mereka. Tak ada tangisan atau penyesalan yang dapat ubah perkara tersebut. Saya telah menerimanya.” – Lyle Menendez
Sehingga hari ini, Erik dan Lyle masih teguh dengan kisah mereka bahawa mereka membunuh Jose dan Kitty ekoran gangguan seksual yang diterima ketika kanak-kanak.
Lyle dikatakan berang apabila mendapat tahun bapanya turut mencabul Erik dan marah ibunya yang membiarkan mereka untuk terus hidup bersama bapa mereka.
Namun begitu, abang Kitty tak percaya dengan cerita dua beradik ini. Brian Andersen percaya bahawa adiknya telah dibunuh anak-anak sendiri ekoran sikap tamak mereka.
Sumber: ati