Isu mengenai tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak mula menjadi perhatian ramai, lebih-lebih lagi selepas timbul persoalan sama ada beliau akan tinggal bersama ahli keluarga seperti biasa atau tidak.
Untuk info, tahanan rumah adalah bentuk pelaksanaan hukuman apabila seseorang banduan menjalani baki hukuman di kediaman yang ditetapkan, tertakluk kepada syarat dan kawalan yang ditentukan pihak berkuasa.
Menurut peguam Datuk Shamsuddin Nawawi, tahanan di rumah sebenarnya masih tertakluk kepada peraturan dan pengasingan seperti banduan di penjara.
Katanya, terdapat salah faham dalam kalangan orang ramai yang menyangka individu yang menjalani tahanan rumah boleh menikmati kehidupan seperti orang biasa.
“Pasangan mahupun ahli keluarga yang tidak didakwa atau disabitkan bukanlah orang yang bersalah dan mereka tidak boleh ditahan atau tinggal bersama banduan.
“Oleh itu, dakwaan bahawa Datuk Seri Najib Razak akan tinggal bersama Datin Seri Rosmah Mansor di rumah mereka sekarang adalah tidak benar,” katanya.

Artikel berkaitan: “Bantu ringankan beban” – UMNO Lancar Tabung Bayar Denda RM50 Juta Tahanan Najib
Artikel berkaitan: Najib Razak Dapat Pengampunan Bersyarat, Tahanan Rumah Hingga Ogos 2028
Tahanan rumah tidak semestinya kediaman sendiri
Beliau menjelaskan, Seksyen 3 Akta Penjara 1995 membolehkan menteri mengisytiharkan mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat sebagai penjara melalui pemberitahuan dalam warta.
Katanya, lokasi yang dijadikan penjara bagi tahanan rumah tidak semestinya kediaman individu terbabit.
“Jika kita membicarakan mengenai kes Najib, maka rumah yang dijadikan penjara tidak semestinya kediaman beliau sekarang.
“Sebaliknya, mana-mana bangunan yang dirasakan sesuai oleh pegawai penjara seperti kem Latihan Khidmat Negara (PLKN) boleh dijadikan penjara,” katanya.
Walaupun lokasinya sebuah rumah atau bangunan lain, Shamsuddin berkata tempat berkenaan tetap perlu berfungsi seperti penjara.
Ini termasuk kawalan oleh kakitangan penjara pada setiap masa serta proses pemeriksaan terhadap banduan.
“Banduan juga masih perlu melalui proses pemeriksaan selain menerima fasiliti termasuk makanan dan kemudahan seperti dalam penjara.
“Sesebuah rumah yang dipilih untuk menjadi penjara, perlu bertukar sifat menjadi penjara.
“Mungkin kelebihan yang ada hanya pada keluasan bangunan, namun aktiviti, peraturan dan kemudahan yang ada masih seperti penjara, ” katanya.
Sumber: Berita Harian
