Kalau korang tinggal di kawasan perumahan yang ada Rukun Tetangga, mesti pernah nampak jiran-jiran buat rondaan, gotong-royong atau anjurkan aktiviti untuk penduduk setempat.
Tapi tahukah korang, geran tahunan untuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) aktif bakal dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 mulai Januari 2027?
Menariknya, kenaikan ini diumumkan selepas kadar geran tersebut tidak berubah selama 13 tahun. Memang lama juga tu!
Perkara ini antara pengumuman yang menarik perhatian dalam ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Untuk tahun 2027, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerima peruntukan sebanyak RM858.8 juta, meningkat 11.82% berbanding tahun sebelumnya.
Selain geran KRT, ada beberapa lagi perkara yang turut menarik perhatian, termasuk kemudahan digital untuk Tabika Perpaduan, usaha menghidupkan semula warisan Hang Tuah dan pembangunan Muzium Tekstil Negara.
Geran KRT Naik RM10,000 Setahun, Selepas 13 Tahun Tak Berubah
Kalau sebelum ini KRT aktif menerima geran tahunan sebanyak RM6,000, mulai Januari 2027 jumlah tersebut akan dinaikkan kepada RM10,000 setahun.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM78.3 juta bagi pelaksanaan kenaikan geran ini.
Menurut Datuk Aaron Ago Dagang, kadar Geran KRT Aktif kali terakhir dinaikkan daripada RM4,800 kepada RM6,000 pada 2013.
Selepas 13 tahun, akhirnya kadar tersebut dinaikkan lagi sebanyak 66.7%.
“Untuk rekod, kadar Geran KRT Aktif kali terakhir dinaikkan daripada RM4,800 kepada RM6,000 setahun pada tahun 2013. Selepas 13 tahun tanpa kenaikan, Belanjawan 2027 mengumumkan peningkatan kadar Geran Tahunan KRT daripada RM6,000 kepada RM10,000 setahun, berkuat kuasa mulai Januari 2027 bagi setiap KRT berdaftar yang aktif.”
Menurutnya, kenaikan ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan KRT dalam membantu mengukuhkan perpaduan, keselamatan dan pembangunan masyarakat di peringkat akar umbi.
Namun, dalam masa yang sama, KPN turut mendedahkan bahawa daripada 8,670 KRT berdaftar di seluruh negara, terdapat 500 KRT yang tidak aktif.
Selangor mencatatkan jumlah KRT tidak aktif paling tinggi iaitu 174, diikuti Johor dengan 100 KRT.
Bagi membantu mengaktifkan semula KRT yang kurang aktif, program bimbingan mentor-mentee antara KRT aktif dengan KRT kurang aktif akan dilaksanakan.
Harapnya, usaha ini dapat membantu lebih banyak kawasan kejiranan kembali aktif dengan pelbagai program untuk penduduk setempat.
Tabika & Taska Perpaduan Bakal Dilengkapi Papan Pintar
Kalau korang ada anak yang belajar di Tabika atau Taska Perpaduan, ini antara perkara yang menarik untuk diketahui.
Aaron berkata kerajaan memperuntukkan RM3.5 juta bagi membekalkan papan pintar (smart board) dan starter kit interaktif untuk Tabika dan Taska Perpaduan di seluruh negara.
“Kemudahan ini bertujuan membantu proses pembelajaran kanak-kanak dengan penggunaan teknologi yang lebih interaktif.”
Selain itu, sebanyak RM2 juta turut disediakan untuk memperluaskan rangkaian internet kerajaan MyGOVNET ke premis Tabika Perpaduan, Taska Perpaduan dan Perpustakaan Desa.
Maksudnya, kemudahan internet turut diberi perhatian supaya premis pendidikan dan komuniti dapat menikmati akses digital yang lebih baik.
Hikayat Hang Tuah Bakal Dijadikan Game Digital?
Siapa sangka kisah Hang Tuah yang selama ini kita kenali melalui buku dan sejarah bakal dibawa ke dunia permainan digital?
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sedang membangunkan permainan digital berasaskan naskhah Hikayat Hang Tuah sebagai salah satu usaha menarik minat generasi muda terhadap warisan Melayu.
Selain itu, motif ragam hias Hikayat Hang Tuah versi 3.0 turut diadaptasi ke dalam produk tekstil moden.
Dalam masa yang sama, usaha memartabatkan manuskrip Melayu turut menunjukkan perkembangan apabila dua naskhah karya Hamzah Fansuri diiktiraf di bawah program UNESCO Memory of the World pada 2025.
Bukan itu sahaja, program Klinik Jawi dan transliterasi Jawi-Rumi MyAKSARA juga akan terus diperkasakan.
Festival Kaligrafi dan Semarak Jawi turut dirancang pada tahun hadapan bagi menggalakkan masyarakat mengenali serta menghargai tulisan warisan ini.
Muzium Tekstil Negara Bakal Berpindah, Peruntukan RM45 Juta Disediakan
Bagi korang yang pernah mengunjungi Muzium Tekstil Negara, satu lagi perubahan besar bakal berlaku apabila muzium tersebut dirancang untuk dipindahkan dan dibangunkan semula di lokasi baharu, iaitu PNB Perdana.
Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM45 juta bagi projek berkenaan.
Muzium baharu ini bakal dilengkapi kemudahan kawalan suhu, kelembapan dan sistem keselamatan khas untuk memastikan koleksi tekstil negara dapat dipelihara dengan lebih baik.
Antara koleksi yang akan diberi perhatian ialah 594 koleksi fabrik dan tekstil bernilai tinggi milik negara.
Dalam ucapan penggulungannya, Datuk Aaron Ago Dagang turut menjelaskan bahawa agenda Pembinaan Negara Bangsa akan menjadi fokus utama KPN pada 2027, selaras dengan mandat Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
“Bagi tahun 2027, Kementerian Perpaduan Negara akan memberikan tumpuan kepada agenda Pembinaan Negara Bangsa sebagai agenda utama dalam memperkukuh perpaduan nasional, selaras dengan mandat Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).”
Menurutnya, pembentukan negara bangsa melibatkan usaha membina identiti nasional, nilai dan aspirasi kebangsaan dengan berteraskan semangat patriotisme serta penerimaan terhadap kepelbagaian sebagai kekuatan bersama.
Daripada kenaikan geran KRT selepas 13 tahun hinggalah usaha membawa warisan Hang Tuah ke dunia digital, Belanjawan 2027 turut memberi perhatian kepada komuniti, pendidikan dan pemeliharaan budaya negara.
Paling menarik, kenaikan geran KRT ini boleh memberi manfaat kepada kawasan kejiranan yang aktif menjalankan program untuk penduduk.
Sumber: Ucapan Penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2026 Peringkat Dasar.
