Baru-baru ini seorang lelaki penjual buah telah berjaya mengesan pemilik dompet berisi wang RM3000 yang tercicir di kedainya dengan menghebohkan perkara tersebut di laman sosial. Kali ini terdapat pula seorang wanita yang mencari seorang individu menggunakan laman sosialnya.
Buat baik dibalas baik, wanita itu menceritakan di laman Facebook bahawa dia mahu menjejaki seorang lelaki baik hati yang telah membantunya dalam keadaan hujan lebat. Lelaki prihatin itu dikatakan membantu menolak kereta wanita dikenali sebagai Azliza Othman itu.
Dalam entrinya (telah dipadam) Azliza memberitahu bahawa dia merasa terhutang nyawa dengan lelaki tersebut yang sanggup berhenti di malam hari dan membantu menolak keretanya dalam keadaan hujan lebat. Azliza kemudian nekad mahu membalas budi baik lelaki itu lalu memuat naik perkara tersebut di laman sosial.
Pun begitu, niat baik wanita itu disalah erti masyarakat sekeliling yang membaca entri tersebut. Statusnya mengundang rasa tidak senang hati orang ramai yang menuduhnya sengaja mahu menggatal. Tidak kurang juga yang mengatakan bahawa itu hanyalah taktik pemasaran Azliza yang mahu melariskan produk kosmetiknya.
“Kalau lelaki tu tak sekacak (pelakon) TV3 aku rasa dia akan cakap terima kasih je,” tulis seorang individu di ruangan komen entri Azliza.
“Semua tu marketing je.”
“Cara-cara untuk mendapatkan publisiti murahan demi melariskan produk.”
Menurut The Star, Azliza yang merupakan seorang ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia lapan tahun itu memaklumkan bahawa tujuan sebenar dia memuat naik status tersebut bukanlah untuk mencari cinta. Namun, dia benar-benar mahu membalas jasa individu berhati mulia yang sanggup menolongnya itu.
“Saya mohon lelaki itu hubungi saya segera. Jika dia sudah berkahwin, saya sanggup menyara barangan dapur dan wang bulanan untuk anak isterinya. Saya sudah terhutang nyawa dengan lelaki itu,” kata Azliza.
Azliza memaklumkan bahawa ramai yang menghantar mesej kepadanya mengaku bahawa mereka adalah lelaki tersebut, namun dia tidak dapat mengenal pasti rupa sebenar lelaki yang membantunya. Ibu tunggal itu juga sempat berpesan supaya individu yang tampil tidak menyamar menjadi lelaki tersebut hanya kerana mahukan balasan.
Semoga Azlina cepat-cepat jumpa lelaki tersebut dan dapat balas jasa baiknya tidak lama lagi. Tak malu betul yang mengaku tu semua…
Baca: Penjual Buah Guna Media Sosial Untuk Cari Pemilik Dompet Berisi RM3,000