Setelah terpalit dengan pelbagai kontroversi berhubung isu perlanggaran SOP semasa majlis perkahwinan berlangsung dan rentas negeri ke Langkawi, selebriti terkenal, Neelofa hari ini telah membuat permohonan maaf menerusi satu video ringkas.
Menurut Kosmo, pengacara dan pelakon yang juga isteri kepada pendakwah bebas, PU Riz telah membuat permohonan maaf kerana kurang menjaga sensitiviti berhubung isu-isu yang kini hangat dibincangkan netizen mengenai dirinya itu.
Dia dan suami juga berkata yang mereka sepatutnya menunjukkan teladan yang baik namun sebaliknya telah terlepas pandang terhadap banyak perkara.
Saya serendah dan seikhlas hati memohon maaf dengan segala kesalahan berhubung SOP tidak kiralah dalam pengetahuan ataupun tidak.
“Saya serta suami mengakui dan menerima dengan hati terbuka untuk segala keputusan serta tindakan pihak berkuasa.
“Sekali lagi saya memohon maaf kerana kurang menjaga sensitiviti tentang hal ini, ada banyak perkara terlepas pandang dan sepatutnya memberi contoh lebih baik mengenai hal itu,” katanya.
https://www.instagram.com/tv/CNb1HrCFTTC/?igshid=1pqjvipu49yom
Neelofa juga memberitahu bahawa kedua-dua keluarga daripada pihaknya dan suami juga telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung isu perlanggaran SOP majlis perkahwinan pada 27 Mac lepas.
“Hari ini semua urusan telah selesai, kedua-dua belah keluarga, saya dan Haris telah hadir ke IPD Dang Wangi untuk beri keterangan bagi membantu siasatan pihak berkuasa.
“Saya dan Haris pergi pada awal minggu ini, keluarga suami pada beberapa hari lalu manakala keluarga saya hari ini. Alhamdulillah semua urusan selesai,” katanya lagi.
Harapnya isu ini selesailah selepas Neelofa sendiri telah memohon maaf berhubung perkara tersebut.