Zaman sekarang ni memang banyak filem-filem yang menggunakan jenayah seperti rompakan atau heist sebagai salah satu tema penceritaan.
Tapi, apa yang selalunya menarik perhatian penonton adalah kebijaksanaan perompak merancang dan menjalankan jenayah mereka tanpa dikesan orang lain termasuklah pihak polis.
Walaupun begitu, bukan semua perompak di dalam dunia ni bijak dan mampu buat plan rompakan sehebat filem-filem Hollywood.
Ada yang dah merompak, tapi terlupa tadi dah bagi nama penuh dengan alamat pada bank. Ada pula yang sibuk mengemas sampai terlupa nak merompak. Macam-macam!
Jom min kongsikan 5 kisah penjenayah yang boleh masuk kategori bebal.
1. Dean Smith
Pada tahun 2014, Dean Smith, 27, dihukum penjara dua tahun setengah selepas cuba merompak sebuah bank dengan menggunakan senjata tajam.
Tapi, apa yang menyebabkan lelaki ini ditahan polis bukanlah kerana rakaman CCTV atau keterangan saksi, tetapi adalah kerana Dean telah memberi nama penuh dan alamat rumahnya 30 minit sebelum membuat keputusan untuk merompak bank berkenaan.
Impromptu lah orang kata
Walau bagaimanapun, cubaan merompak yang dilakukan Dean itu tidak membuahkan hasil selepas cashier di bank itu enggan menyerahkan wang kepada Dean.
Dia pulang ke rumah selepas itu dan ditahan tidak lama kemudian.
2. Donald “Chip” Pugh
Seorang lelaki yang menjadi suspek dalam kejadian kebakaran dan vandalisme menghantar satu selfie kepada polis di Ohio selepas dia tidak berpuas hati dengan gambar yang digunakan pihak berkuasa dalam waran tangkapnya.
Tidak cukup dengan itu, Donald “Chip” Pugh turut meluahkan rasa tidak puas hatinya itu di sebuah stesen radio tempatan.
“Jahat betul dia orang (polis). Mereka sengaja menggunakan gambar saya yang buruk seperti James Brown dalam pelarian. Saya tak boleh melihat perkara itu,” katanya.
Pasukan Polis Lima berterima kasih kepada Donald atas kiriman selfie itu selain menganggap penjenayah berkenaan sangat membantu.
“Kami akan lebih menghargai jasanya sekiranya dia datang ke balai polis untuk menyerah diri,” kata mereka.
Donald akhirnya ditahan polis di Florida.
3. Si pencuri kereta
Seorang pencuri kereta ditahan polis Pretoria Central selepas dia terperangkap di dalam sebuah kereta yang ingin dicurinya.
Menurut laporan, lelaki yang berasal dari Afrika Selatan itu terperangkap selama hampir satu jam setengah di dalam kereta berkenaan selepas fungsi auto-lock kenderaan itu tidak membenarkan dia bergerak.
“Suspek menjerit meminta pertolongan orang ramai tetapi semua orang hanya menunjuk dan menggelakkan pencuri itu,” kata sumber.
Lelaki itu berjaya keluar dari kereta terbabit dan dicekup polis selepas tuan kenderaan itu kembali ke keretanya.
4. Mohammad Ashan
Pegawai North Atlantic Treaty Organization (NATO) dan askar Afganistan terpinga-pinga apabila seorang komander Taliban datang ‘menyerah diri’ di sebuah checkpoint tentera.
Tambah mengejutkan apabila komander berkenaan tegas meminta wang berjumlah $100 yang merupakan ganjaran pihak berkuasa kepada sesiapa yang berjaya menangkap dirinya.
Mohammad Ashan merupakan seorang komander Taliban yang disyaki menjadi dalang serangan ke atas pasukan ketenteraan Amerika Syarikat dan Afganistan.
“Terus-terang saya katakan dia (Mohammad Ashan) bodoh. Tidak pernah lagi saya melihat penjenayah dikehendaki menyerah diri dan meminta wang ganjaran,” kata seorang pegawai Amerika Syarikat.
Dia ingat kalau dia dapat ganjaran tu dia boleh lari ke? Dah lah serah diri dekat checkpoint tentera
5. Lukasz Chojnowski
Sepasang suami isteri di Lancashire dikejutkan dengan penemuan seorang lelaki yang tidak dikenali sedang tidur di dalam rumah mereka.
Walaupun lelaki misteri yang dikenal pasti sebagai Lukasz Chojnowski itu mengaku mahu merompak rumah pasangan berkenaan, Martin Holtby dan isterinya, Pat Dyson melaporkan mereka tidak kehilangan apa-apa tetapi ada perkara aneh yang terjadi di rumah mereka.
Menurut Pat Dyson, dia terkejut apabila mendapati perompak berkenaan telah membasuh semua pinggan mangkuk dan pakaian di rumahnya. Malah, Lukasz juga telah membeli beberapa barangan dapur.
“Kami sebenarnya baru pulang dari bercuti ketika kami terjumpa Lukasz di rumah. Saya perasan rumah kami menjadi sangat bersih berbanding semasa kami meninggalkannya,” kata Martin Holtby.
“Dia (Lukasz) ada bakar satu periuk saya, tetapi, rumah saya bersih ‘dikerjakannya’,” kata Pat Dyson lagi.
Dah macam kisah Goldilocks pula. Balik rumah jumpa orang tak kenal tengah tidur dalam rumah.
Sumber: BBC
Baca: Catch Me If You Can: Adaptasi Kisah Benar Penjenayah Paling Licik Dalam Sejarah, Frank Abagnale Jr.