Kasih ibu bapa terhadap anak-anak tiada tolak bandingnya. Ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja demi anak-anak termasuklah mengorbankan nyawa sendiri. Inilah yang dilakukan oleh seorang lelaki sewaktu berlaku sebuah kebakaran di rumahnya.
Menurut Harian Metro, seorang lelaki telah meninggal dunia dalam satu kebakaran di rumahnya yang bertempat di Kampung Kuala Ibai, Kuala Terengganu hari ini. Kejadian yang berlaku pada jam 8:40 pagi itu dikatakan telah membuatkan lelaki berusia 45 tahun tersebut sesak nafas sekaligus menyebabkan kematiannya.
Lebih menyedihkan, lelaki dikenali sebagai Ahmad Fakhrurazi Shafie berkenaan meninggal selepas menyelamatkan anak bongsunya daripada kebakaran yang berlaku. Ahmad ditemui tidak sedarkan diri oleh anak saudara sambil memeluk anaknya Muhammad Aqil Harith yang baru berusia tiga tahun.
Anak saudara Ahmad yang bernama Ahmad Syahir Azizi ahmad Zulfa memberitahu bahawa dia terlihat kepulan asap dari tempat kejadian ketika tiba di rumah neneknya yang hanya terletak bersebelahan dengan rumah mangsa.
“Pada mulanya saya ingatkan ada orang membakar sampah sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kecil dan cermin pecah dari rumah bapa saudara, beberapa minit kemudian.”
“Saya bergegas keluar melihat apa yang berlaku dan ternampak bapa saudara terbaring di halaman rumah sambil memeluk anak bongsunya di dada.”
Syahir menceritakan bahawa dia cuba untuk membangunkan bapa saudaranya namun tidak menerima sebarang reaksi daripada lelaki tersebut. Malah, muka Ahmad yang juga Timbalan Ketua Cawangan UMNO Kuala Ibai itu sudah berubah menjadi pucat pada ketika itu.
Saat ditemui, anak bongsu mangsa hanya menangis dalam pelukan bapanya dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sebaik pasukan perubatan tiba di lokasi untuk memberikan rawatan kecemasan.”
Mangsa dalam keadaan terbaring dihadapan rumahnya ketika ditemui dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan. Sebelum kejadian, mangsa dikatakan telah memuat naik satu entri tentang kematian di laman Facebook miliknya. Ajal maut di tangan Tuhan, siapa tahu Ahmad meninggal hanya sehari selepas memuat naik status tersebut.
Entri Ahmad itu kini dipenuhi dengan ucapan takziah daripada rakan-rakan yang mendoakan kesejahteraannya. Al Fatihah… Semoga roh arwah dicucuri rahmat…
Baca: “Atuk, Nenek dan Dua Adik Saya Dibunuh dan Mati Dalam Kebakaran…..”