Detik cemas yang pada awalnya disangka berakhir dengan selamat bertukar menjadi tragedi menyayat hati apabila dua pekerja wanita sebuah kedai serbaneka di Jepun maut selepas diarahkan masuk semula ke dalam pusat beli-belah yang baru sahaja dilanda gempa bumi.
Menurut laporan, kedua-dua mangsa pada asalnya berjaya menyelamatkan diri selepas gempa bumi bermagnitud 7.1 menggegarkan Wilayah Kumamoto pada 28 Julai lalu.
Namun, seorang pengurus kedai memberi arahan kepada dua pekerjanya untuk masuk semula ke pusat beli-belah terbabit untuk menyimpan wang hasil jualan pada hari kejadian ke dalam peti besi.
Malangnya, kira-kira lima minit selepas mereka masuk, satu letupan kuat berlaku dan meragut nyawa kedua-dua wanita itu. Insiden tersebut turut mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang termasuk dua pekerja berkenaan.
Artikel berkaitan: “Bangunan bergoyang” – Pelancong Malaysia Kongsi Saat Cemas Gempa Bumi Di Jepun
Artikel berkaitan: Gempa Bumi 6.5 Skala Richter Gegar Jepun, 1 Meninggal Dunia Manakala 21 Lagi Cedera
Pengurus akui salah
Seorang pengurus jualan, Koji Yuse, mengakui telah mengarahkan pengurus kedai supaya meminta kedua-dua pekerja terbabit memindahkan hasil jualan hari berkenaan dari kedai di tingkat dua ke peti besi di tingkat satu.
Menurutnya, selepas menilai semula apa yang berlaku, arahan itu tidak sepatutnya diberikan.
“Saya fikir arahan itu tidak wajar. Saya amat kesal,” kata Yuse.

Seorang lagi pengurus jualan syarikat turut mengakui bahawa hasil jualan tidak sepatutnya diutamakan berbanding nyawa manusia.
“Melihat kembali apa yang berlaku, wang hasil jualan itu langsung tidak bernilai jika dibandingkan dengan nyawa,” ujarnya.
Sementara itu, pihak syarikat telah menyampaikan permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa sambil menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi yang amat menyedihkan.
Difahamkan, pihak berkuasa Jepun sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan punca kejadian serta tindakan yang membawa kepada tragedi itu,
Setakat ini, sekurang-kurangnya 36 orang terkorban akibat gempa bumi, manakala dua lagi kes kematian masih dalam siasatan.
Sumber: Mothership.sg, Harian Metro
