Semenjak kapal terbang MH370 hilang tanpa khabar berita, banyak teori yang muncul daripada pelbagai pihak. Ada yang mengatakan kapal terbang tersebut sudah terhempas, dan ada juga yang mendakwa mereka disorokkan di suatu kawasan oleh pihak yang tidak diketahui.
Antara lokasi yang sering disebut dalam teori konspirasi adalah Diego Garcia. Ada apa dengan Diego Garcia dan mengapa ia menjadi sasaran pencipta teori konspirasi?
Sejarah Diego Garcia
Untuk pengetahuan anda, Pulau Diego Garcia pernah tidak berpenghuni selama lebih 200 tahun sebelum diubah menjadi kemudahan sokongan berskala penuh untuk tentera laut Amerika Syarikat (AS). Menurut laman web berkaitan ketenteraan, Asian Military Review, United Kingdom (UK) memajakkan Diego Garcia kepada AS sehingga tahun 2036.
Menurut sejarah, Diego Garcia ditemui pada awal abad ke-16 oleh kapal Portugal. Peta rasmi pertama yang menamakan pulau itu sebagai Diego Garcia diterbitkan pada tahun 1599, oleh Edward Wright.
Pada 1965, Wilayah Lautan Hindi Britsh ditubuhkan dan pulau ini dijadikan sebagai salah satu entitinya. Selepas tujuh tahun, Britain dan AS menandatangani perjanjian untuk pembinaan Stesen Komunikasi Tentera Laut AS di situ.
Jadi pangkalan tentera laut
Menurut sumber, pangkalan tentera laut dikatakan masih beroperasi sehingga ke hari ini. Pulau tersebut menjadi rumah kepada ribuan tentera dan staf AS, yang dilengkapi dengan kemudahan radar canggih, penjejakan angkasa lepas dan kemudahan komunikasi.
Pulau ini juga dikatakan mempunyai kemudahan untuk melakukan operasi pengeboman jarak jauh, operasi pasukan khas dan menjadi tempat berlabuh kapal selam berkuasa nuklear. AS dan negara sekutu juga boleh menghantar tentera mereka ke kawasan Lautan Hindi untuk membantu operasi.
Lokasi Diego Garcia
Diego Garcia terletak dalam Wilayah Lautan Hindi British, berhampiran dengan penghujung selatan India. Pulau ini berbentuk seperti tapak kaki kuda, dengan kira-kira 1.2 meter dari paras laut dan keluasan tanah sekitar 2,719 hektar.
Pulau ini sepanjang kira-kira 22 kilometer (km) dan selebar 6.4 km. Diego Garcia adalah pulau karang hidup dan bekas gunung berapi. Menurut sumber, pulau ini mengalami hujan lebat sepanjang tahun dan dipenuhi tumbuhan semula jadi.
Boleh dilawati?
Seperti yang sudah ditulis, Diego Garcia merupakan markas tentera laut AS. Jadi, ia tidak boleh dilawati oleh orang awam.
Untuk melawat ke pulau ini, seseorang itu memerlukan kebenaran dari Fasiliti Sokongan Tentera Laut AS yang terletak di Diego Garcia. Hanya kakitangan awam Jabatan Pertahanan, tentera dan kontraktor yang dibenarkan untuk masuk ke sini.
Untuk menjaga keselamatan dan kerahsiaan pulau, pasangan kepada kakitangan, tentera dan kontraktor tidak dibenarkan untuk berada di sini.
Kredit: Harian Metro
BACA: Rahsia Disebalik Jambatan Port Dickson, Betul Ke Untuk Laluan Orang Bunian?