Pernahkah anda dengar kisah misteri berkenaan jambatan yang dibina di lebuhraya menuju ke Port Dickson?
Jambatan ini dikatakan dibina khas untuk laluan orang bunian agar mereka tidak melintas di tengah jalan dan mengakibatkan kemalangan kepada pengguna jalan raya.
Ada juga yang mengatakan jambatan ini adalah hasil perjanjian di antara manusia dengan kaum bunian. Mana tidaknya, jambatan ini tidak menghubungkan mana-mana jalan raya, sebaliknya hanya menghubungkan dua hutan.
Persoalannya di sini, betul ke jambatan tersebut dibina untuk kegunaan makhluk ghaib?
Ayuh selongkar rahsia di sebalik jambatan Port Dickson ini!
Sebenarnya, jambatan tersebut dibina untuk memudahkan haiwan melintas jalan serta untuk mengelakkan berlakunya kemalangan di antara kereta dan haiwan.
Kemajuan infrastruktur di Malaysia telah mengakibatkan banyak lebuh raya yang dibina untuk mempercepatkan perjalanan dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain.
Namun tahukah anda, pembinaan lebuh raya akan memberi kesan buruk terhadap hidupan liar seperti harimau dan gajah. Lebuh raya akan memisahkan satu kawasan besar hutan kepada dua kawasan yang terpisah dan ini akan menyukarkan hidupan liar untuk bergerak ke kawasan yang lain.
Untuk menyelesaikan isu ini serta menyelamatkan hidupan liar daripada terkorban, jambatan haiwan dibina agar mereka boleh melintas di lebuh raya dengan selamat.
Sudah banyak dibina di luar negara
Jambatan haiwan sudah lama dipraktikkan di luar negara seperti Amerika Syarikat. Mengikut kajian yang dibuat di Utah, 98 kancil, 5 rusa dan beberapa haiwan kecil telah mati akibat kemalangan jalan raya dalam masa dua tahun sahaja.
Malah, kemalangan ini juga mengorbankan nyawa hampir 200 orang setiap tahun berdasarkan rekod National Highway Traffic Safety Administration di Amerika Syarikat.
Berikut adalah beberapa jambatan haiwan yang terkenal di luar negara:
1. Jambatan ketam di Pulau Christmas, Australia.
2. Ecoduct di Taman Negara Banff, Kanada.
3. Jambatan untuk binatang liar di Belanda.
Diharapkan selepas ini tiada lagi yang takut apabila lalu di bawah jambatan ‘bunian’ ini.