Cahaya mata merupakan anugerah yang sangat dinanti-nantikan bagi pasangan yang sudah lama berkahwin tapi masih belum dikurniakan zuriat.
Namun, ada pula ibu bapa yang tidak mahukan anak sehingga sanggup melempar buang anak mereka tanpa sedikit pun rasa menyesal atau bersalah.
Seperti kejadian yang berlaku di Sekinchan kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
Seorang ustazah menemui bayi yang dibuang berhampiran kediamannya di Sekinchan.
Lapor Sinar Harian, guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) itu telah menemui mayat seorang bayi lelaki tanpa seurat benang telah digumpal dengan kain telekung sebelum disumbat masuk ke dalam sebuah beg plastik di kebun kelapa sawit Kampung Tali Air 11 Pasir Panjang, Sekinchan.
Buka pintu dapur, nampak beg plastik biru
Menurut Rosnah Rusni, 47, ketika dia membuka pintu dapur, dia terlihat sebuah plastik yang berwarna biru diletakkan di bawah pokok kelapa sawit yang terletak kira-kira 10 meter dari tempatnya berdiri sebelum memanggil anak lelakinya untuk melihat isi kandungan plastik berkenaan.
Apa yang mengejutkan, anaknya itu telah menemui sehelai kain putih dengan kesan darah lantas dia dipanggil untuk melihat kejadian itu.
Ingatkan barang peribadi, rupanya mayat bayi lelaki
Pada mulanya, dia menyangkakan bahawa ada individu yang telah meletakkan barangan peribadinya di dalam beg plastik tersebut. Namun sangkaannya meleset apabila menjumpai mayat bayi yang masih bertali pusat telah digumpal dalam kain telekung.
Saya tak dapat gambarkan dengan kata-kata hingga badan saya tiba-tiba menggeletar melihat sendiri mayat bayi cukup sifat dalam keadaan sudah tidak bernyawa.
Dia yang berada dalam keadaan yang masih terkejut lantas menghubungi pihak polis untuk melaporkan penemuan itu.
Tambahnya, dia memang sentiasa berada di rumah dan tidak perasan dengan bunyi-bunyi yang mencurigakan dari luar rumah. Dia juga berharap agar pihak polis dapat menjalankan tindakan sewajarnya untuk mengenal pasti ‘dalang’ yang sanggup melakukan perbuatan kejam itu.
Saya anggap ini perbuatan kejam dan tidak berhati perut.
Haiwan pun reti sayangkan anak tahu!
Masih bertali pusat, darah belum kering…
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, bayi cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam berdasarkan keadaan tali pusatnya yang masih bersambung. Bukan itu sahaja, darah di tubuhnya juga masih belum kering dan terdapat najis bayi di dalam beg berkenaan.
Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.
Allahu, rehatlah bayi syurga.