Satu tragedi hitam menggemparkan Maldives apabila mayat empat penyelam warga Itali yang hilang sejak minggu lalu akhirnya ditemui di dalam sebuah gua laut sedalam 60 meter di Vaavu Atoll. Insiden ini disifatkan sebagai antara kemalangan menyelam paling buruk dalam sejarah negara tersebut.
Menurut laporan BBC, mayat mangsa ditemui di segmen ketiga gua iaitu zon paling jauh dari pintu masuk oleh pasukan penyelam elit Finland dan Maldives. Sebelum ini, mayat mangsa kelima, Gianluca Benedetti (instruktor selam), sudah pun ditemui berhampiran pintu masuk gua sejurus selepas kejadian pada hari Khamis.
Senarai 5 Penyelam Itali
- Prof. Monica Montefalcone (Profesor Ekologi Marin dari University of Genoa)
- Giorgia Sommacal (Anak perempuan Profesor Monica, seorang pelajar universiti)
- Muriel Oddenino (Felo penyelidik universiti)
- Federico Gualtieri (Graduan baharu biologi marin)
- Gianluca Benedetti (Pengurus operasi bot & pengajar selam, mayat pertama ditemui)
-
Staff Sgt. Mohamed Mahdhee (Anggota komando tentera/penyelamat Maldives yang maut masa operasi SAR hari Sabtu)
Pihak berkuasa memaklumkan proses membawa keluar baki mayat akan dilakukan secara berperingkat minggu ini.
Artikel berkaitan: Bandar Osaka Terima 21kg Jongkong Emas Dari Penderma Misteri Untuk Baiki Sistem Air
Artikel berkaitan: Misteri Kehilangan Pelajar Myanmar Di Malaysia Terjawab, Disahkan Maut Terjat*h Dari Tingkat 26 Kondo
Kronologi Ringkas Kematian 5 Penyelam

Khamis Pagi: Kumpulan penyelidik University of Genoa turun menyelam dari kapal persiaran mewah untuk kaji terumbu karang, namun bertindak meneroka gua laut tanpa kebenaran universiti.
Khamis Petang: Kumpulan terbabit dilaporkan hilang selepas gagal timbul. Operasi SAR dilancarkan dan mayat pertama (instruktor selam, Gianluca Benedetti) ditemui berhampiran pintu masuk gua.
Sabtu: Tragedi kedua berlaku apabila anggota komando penyelamat Maldives, Staff Sergeant Mohamed Mahdhee, maut akibat komplikasi selaman ketika misi mencari.
Isnin: Pasukan penyelam elit Finland dan Maldives akhirnya berjaya mengesan baki empat lagi mayat terperangkap jauh di dalam segmen ketiga gua.
Selasa & Rabu: Proses membawa keluar baki mayat mangsa dilakukan secara berperingkat oleh pihak berkuasa.
Tiada permit?
Pendedahan daripada pihak University of Genoa mengejutkan ramai apabila mengesahkan aktiviti berbahaya itu dilakukan secara rahsia atas kapasiti peribadi mereka sendiri dan di luar skop misi rasmi yang dibenarkan.
Meskipun mempunyai permit kajian untuk menyelam sehingga 50 meter, dokumen asal langsung tidak menyatakan aktiviti meneroka gua, malah dua daripada mangsa tidak didaftarkan dalam permit tersebut.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian di sebalik faktor cuaca buruk yang melanda ketika itu.
