Hari ini merupakan prosiding perbicaraan lafaz taklik antara pasangan pelakon Linda Hashim dan suaminya, Beego di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim berkata, suaminya masih enggan melafazkan cerai biarpun telah diberikan peluang kedua oleh hakim.
Artikel berkaitan: Beego Dapat Amaran Keras Kerana Masih Gagal Hadirkan Diri Di Mahkamah
Artikel berkaitan: Beego Tak Mahu Bercerai, Minta Linda Hashim Pulang Ke Rumah Untuk Selesaikan Masalah
Enggan lafaz cerai
Katanya, hakim telah mengemukakan pertanyaan kepada Beego jika mahu lafazkan cerai atau sebaliknya, tetapi Beego memilih untuk teruskan perbicaraan.
“Tadi sebenarnya ada soalan juga daripada hakim sama ada mahu lafaz cerai atau tidak. Namun dia tetap tidak mahu beri kerjasama untuk lafaz cerai dan ingin membuat pembelaan diri. Tak mengapalah, saya tunggu sahaja.”
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Syarie, Nadia Khamis. Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah (Beego) enggan mengulas lanjut berkenaan dengan dakwaan tersebut.
Beego sebagai defendan megatakan bahawa dia sedia mengikuti prosiding yang telah ditetapkan.

“Kami sebagai pihak defendan memang kena ikut undang-undang. Saya datang pun sebab kena ikut undang-undang.”
Dalam masa yang sama, peguam syarie yang mewakili Linda iaitu Nurul Fadzilah Kamaluddin menyatakan bahawa pihak mahkamah telah menerima pengesahan lafaz taklik daripada defendan dan menyifatkan bahawa prosiding pada hari ini berjalan lancar.
“Sebentar tadi kita ada pengesahan lafaz taklik oleh pihak defendan. Alhamdulillah, hakim memberi respons yang sangat baik terhadap kes ini.”
“Kami sangat bersyukur dan anak guam saya berpuas hati dengan kes hari ini. Cuma sekarang proses masih dalam siasatan dan akan ditangguhkan pada 18 Jun dan 9 Julai.”
“Kami harapkan untuk dua tarikh akan datang ini kes akan selesai dengan baik dan semoga ada pengakhiran yang baik buat kedua-dua pihak.”
Pergolakan rumah tangga antara Linda dan Beego menjadi tumpuan selepas aktres itu memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman. Sumber melaporkan bahawa mereka pernah bercerai pada 27 Mac 2023 namun rujuk kembali pada 9 April 2023.

Beberapa bulan selepas itu, Linda mendedahkan mereka bercerai buat kali kedua sebelum rujuk kembali tidak lama selepas itu.
Beego dan Linda berkahwin pada Jun 2013 dan dikurniakan 3 cahaya mata iaitu, Jelita Clarissa,11, Anggun Cassandra 10 dan Indah Camelia, 6.
Sumber : mStar Online, Harian Metro
