Penyanyi baharu, Athierah, tampil mempertaruhkan single sulung berjudul Berdiri, sebuah karya yang membawa mesej tentang kekuatan diri, keberanian untuk bangkit semula dan semangat meneruskan kehidupan walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Menurut Athierah atau nama sebenarnya Nor Athierah Aqielah Nor Azman, lagu tersebut mempunyai kaitan yang cukup dekat dengan perjalanan hidup dan pengalaman peribadinya sepanjang bergelar anak seni.
Katanya, sebaik sahaja mendengar melodi dan susunan muzik lagu itu buat pertama kali, dia terus merasakan satu hubungan yang kuat dengan karya berkenaan.

Bagi saya, lagu Berdiri sangat istimewa sebab mesej yang dibawa memang dekat dengan diri saya. Lagu ini banyak berkisarkan tentang kekuatan diri dan bagaimana kita bangkit semula selepas melalui pelbagai fasa dalam hidup.
“Bila pertama kali dengar muzik dan melodi lagu ini, saya terus rasa bersemangat dan yakin lagu ini mempunyai sesuatu yang boleh sampai kepada pendengar,” katanya.
Lebih menarik, single tersebut turut menyaksikan Athierah berpeluang bekerjasama dengan komposer terkenal, Ajai, yang disifatkannya sebagai satu pengalaman cukup bermakna dalam perjalanan seninya.
Sepanjang proses rakaman, Athierah mengakui banyak mempelajari aspek penting dalam penyampaian lagu, terutama dari segi emosi dan penghayatan.
Menurutnya, Ajai sangat teliti ketika proses rakaman sehingga setiap perkara kecil diberi perhatian bagi memastikan hasil akhir mampu memberi kesan kepada pendengar.

Artikel berkaitan: Penyanyi Korea Selatan, Rain Hentikan Seketika Persembahan Di Singapura Kerana Penonton’Kaku’
Artikel berkaitan: “Cara menyanyi tak sama, tapi tarikan tu serupa” – Ajai Sifatkan Daya Tarikan Thalita Persis Arwah Siti Sarah
Dalam masa sama, gadis berusia 22 tahun itu turut berkongsi bahawa minatnya terhadap dunia nyanyian sudah bermula sejak kecil lagi. Namun, perjalanan untuk serius dalam industri hiburan bukanlah sesuatu yang mudah kerana dia juga pernah melalui pelbagai cabaran sebelum mendapat peluang merakamkan single sendiri.
Selain aktif dalam bidang nyanyian, Athierah kini sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan atau ASWARA.
Katanya, dunia teater banyak membantu meningkatkan keyakinan diri, ekspresi emosi dan cara membawa diri ketika membuat persembahan di atas pentas.
Sebagai rekod, Berdiri yang diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif kini sudah boleh didengari di semua platform digital manakala muzik videonya boleh ditonton menerusi YouTube Indigital Music.
Sumber: Indigital Music
