“Jual body ke jual durian?”
Itulah antara komen yang dilemparkan netizen terhadap seorang penjual durian yang berbadan sado selepas tular video dirinya memperlihatkan tubuh badannya yang sasa sambil membuka durian untuk dijual.
Video penjual durian berkenaan sudah mendapat perhatian netizen semenjak empat hari lalu lagi dengan 22.3K likes dan lebih 4,000 shares di TikTok.
JHEAT tegur penjual durian sado
Susulan tularnya video berkenaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah memberi teguran kepada lelaki tersebut supaya tidak lagi mempamerkan bentuk badannya yang sasa di khalayak awam.
Menurut Astro AWANI, Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan (Bahagian Dakwah) JHEAT, Zahari Sulong berkata, ia bertujuan untuk menjaga diri sendiri daripada fitnah sekaligus mendapatkan keberkatan dalam urusan perniagaan.
JHEAT berpandangan apa yang ditularkan itu (video) tidak sepatutnya berlaku bukan sahaja di negeri Terengganu bahkan di seluruh tempat kerana ia mengundang kepada fitnah.
“Netizen-netizen dan orang ramai akan bercakap mengenai perkara tersebut yang tidak elok walaupun beliau tutup aurat, tetapi bila berdepan (berada) di tempat orang awam tak sepatutnya lah dia menunjukkan badan seperti itu.
“Betul lah kalau dia kata dah tutup aurat dengan memakai seluar, tetapi sepatutnya semua kita kena jaga. Kena tutup aurat ‘comel’, ‘molek’ sebab kita mahu jaga imej dan maruah diri sendiri. Daripada situ, Insya-Allah, akan ada limpahan rezeki kepada setiap orang ang mencari rezeki halal,” katanya semalam.
Belum ambil tindakan, sekadar beri nasihat
Setakat ini, JHEAT telah mengambil pendekatan memberikan nasihat dan belum mengambil sebarang tindakan tegas berhubung perkara itu.
Mengikut Seksyen 35, Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu, mana-mana orang yang mendedahkan mana-mana bahagian tubuhnya yang pada pandangan umum menimbulkan ghairah di mana-mana tempat awam adalah melakukan kesalahan.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Lelaki yang berstatus duda anak tiga itu juga merupakan ahli bina badan dan pernah bergelar Mr Body Cantik selama tiga tahun berturut-turut sejak 2017.
Lelaki berkenaan juga sebelum ini pernah memberitahu mStar bahawa dia menerima segala kritikan netizen terhadapnya dirinya tentang gaya pemakaian yang dianggap tidak sopan.
Walau bagaimanapun, dia berpendapat dirinya tidak menjual maruah kerana masih memakai seluar dan bukannya seluar dalam.
Saya bukannya jual maruah. Saya masih pakai seluar, bukan seluar dalam. Cuma nampak pusat sikit. Terima kasih yang komen positif. Walaupun tak beli, support pun dah memadai,” katanya.
Apa-apapun tahniah buat abang sado ini kerana makin ramai pembeli duriannya sejak video berkenaan viral.
Baca: [VIDEO] Dari Boroi Ke Sado, Netizen ‘Speechless’ Tengok Perubahan Ketara Shaheizy Sam