Kehilangan telefon pintar memang boleh buat sesiapa sahaja panik, lebih-lebih lagi apabila di dalamnya tersimpan pelbagai gambar kenangan serta urusan penting.
Itulah detik cemas yang dilalui seorang pengguna Threads, @/mierazizz, selepas menyedari telefon pintarnya tiada bersama sejurus selesai menjalani sesi fotografi pra-konvokesyen (preconvo) di sebuah kedai buku baru-baru ini.
Menerusi perkongsian tersebut, wanita itu menceritakan bahawa dia hanya menyedari telefonnya tertinggal selepas tiba di kereta.
Artikel berkaitan: Sebak! Achey Sujud Syukur Dalam Bilik Doktor Lepas 15 Tahun Tunggu Rezeki Zuriat
Artikel berkaitan: “MashaAllah sempurna” – Netizen Terharu Lihat Persembahan Tarian Tradisional Daripada Pelajar PPKI
Bagaimanapun, perasaan cemas itu bertukar sebak dan terharu apabila telefonnya berjaya ditemui semula di kaunter kedai buku terkenal BookXcess, siap dengan satu ‘kejutan’ dalam galeri.
Rupa-rupanya, terdapat rakaman video berdurasi 19 minit yang merakamkan detik bagaimana telefon tersebut dijumpai oleh orang awam sebelum diserahkan ke kaunter.
View on Threads
“Kejadian yang agak trauma. Lepas shoot preconvo dekat kedai buku, sampai kereta baru perasan phone tak ada.
Tengok galeri ada orang rekod video selama 19 minit.
Terima kasih banyak kepada abang, kakak dan keluarga ini sebab pulangkan phone saya dekat kaunter. Sumpah baik sangat, semoga Allah balas kebaikan abang satu keluarga,” tulisnya.
Menerusi potongan klip yang turut dikongsikan, kelihatan sebuah keluarga yang sedang memilih buku di rak menyedari telefon yang sedang merakam itu.
Bukan sahaja tidak mengambil kesempatan, mereka turut sempat melambai serta membuat tanda peace ke arah kamera dengan wajah ceria sebelum membawanya ke kaunter untuk disimpan oleh staf bertugas.
Dalam pada itu, pihak BookXcess turut mendapat perhatian akaun rasmi BookXcess yang meluahkan rasa lega serta menghargai sikap saling membantu di kalangan pengunjung dan pasukan mereka.

Sumber: Threads
