Pelakon, pengarah dan pengacara terkenal, Datuk Afdlin Shauki tampil memberikan penjelasan penuh berhubung gurauannya mengenai penyanyi Aina Abdul ketika mengacarakan malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran bebenang (thread) di platform Threads, Afdlin mengakui bahawa beliau kebiasaannya tidak menjelaskan sebarang jenaka yang dibuat, namun kali ini merasakan perlu untuk memperbetulkan keadaan setelah timbul dakwaan unsur body shaming.
Menurut Afdlin, beliau sebenarnya merupakan peminat yang mengagumi perjalanan seni serta keberanian Aina dalam bereksperimen dengan fesyen sehingga menjadi identiti tersendiri.
Artikel berkaitan: “Tak tahu kandungan apa yang dibuat” – Afdlin Shauki Ulas Isu DS Rosmah Saman Harith Iskander
Artikel berkaitan: “Jadi pelawak tak bermakna kena biadap” – Jurulatih Kecergasan Aina Abdul Tegur Afdlin Shauki
View on Threads
“Abang memang peminat Aina Abdul. Abang ikuti perjalanan Aina dari jauh, tengok macam mana dia bina nama dan lalui macam-macam untuk sampai ke tahap sekarang.
Dalam ramai-ramai artis kita, Aina antara yang paling berani bereksperimen dengan fesyen. Dia buat dengan begitu konsisten sampai orang nampak busana dari jauh pun dah tahu, ‘Ha, itu mesti Aina Abdul.’ Itu namanya branding yang menjadi,” tulisnya.
Mengulas lanjut mengenai dakwaan body shaming, Afdlin menegaskan bahawa punchline yang disampaikan malam itu merujuk kepada saiz busana gah penyanyi tersebut sekiranya berada di barisan hadapan, dan bukannya menyentuh soal fizikal tubuh badan.
Malah, beliau turut berkongsi bahawa dirinya sendiri sudah lali menerima komen mengenai bentuk fizikal selama ini, justeru amat memahami perasaan apabila tubuh badan dijadikan bahan jenaka.
“Abang sebut nama Aina sebab gaya dia cukup kuat sampai orang terus kenal. Keberanian dia itulah yang abang nak tonjolkan.
Aina, kalau cara abang bergurau malam tu buat Aina rasa tak selesa, abang minta maaf. Abang tak berniat nak menyindir Aina,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Afdlin turut menyuarakan hasratnya untuk bekerjasama dengan pelantun lagu Terus Hidup itu pada masa akan datang sekiranya diberi rezeki.
Beliau juga mengakui cara penerimaan masyarakat terhadap sesuatu gurauan kini sudah banyak berubah berbanding zaman awal pembabitannya sebagai pengacara, di mana potongan klip pendek boleh mengundang pelbagai tafsiran berbeza.
Menutup perkongsian tersebut, Afdlin menerima segala teguran dengan hati terbuka dan mendoakan yang terbaik buat semua pihak.
Sumber: Threads
