in

1,726 Projek Perumahan Sakit Berjaya Dipulihkan KPKT, Libatkan 199,643 Unit Rumah Bernilai RM158 Bilion

Ana 30

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sebanyak 1,726 projek perumahan swasta yang sebelum ini berdepan masalah berjaya dipulihkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 2023, melibatkan 199,643 unit rumah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) mencecah RM158.16 bilion.

Pencapaian sehingga 31 Ogos 2026 itu merupakan hasil usaha Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) yang ditubuhkan KPKT bagi menangani isu projek perumahan yang gagal disiapkan mengikut perancangan.


 

Usaha ini bukan sekadar melibatkan pemulihan projek dan penyiapan bangunan, malah turut memberi harapan kepada ribuan pembeli rumah yang sekian lama menantikan kediaman sendiri.

Bukan Sekadar Siapkan Bangunan, Tapi Kembalikan Harapan Pembeli Rumah

20261117 Afs 3431

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,Nga Kor Ming, di sebalik angka pencapaian tersebut terdapat ribuan keluarga yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rumah sendiri.

Malah, sebahagian pembeli turut berdepan beban kewangan apabila terpaksa meneruskan bayaran pinjaman perumahan sambil menanggung kos sewaan rumah lain sepanjang tempoh menunggu.

“Memulihkan projek perumahan bukan sekadar menyiapkan bangunan yang terbengkalai. Lebih daripada itu, ia bermakna mengembalikan harapan ribuan keluarga, memulihkan keyakinan industri hartanah serta merealisasikan impian rakyat untuk memiliki kediaman sendiri.”

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan memulihkan projek-projek berkenaan bukan pencapaian peribadi, sebaliknya hasil usaha kolektif seluruh warga KPKT serta kerjasama semua pihak berkepentingan.

KPKT Perkenal Reformasi Perumahan MADANI, Mahu Elak Projek Sakit Berulang

Dalam masa sama, KPKT bukan hanya memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan projek perumahan yang sudah bermasalah, tetapi turut mengambil langkah memperbaiki kelemahan sistem yang menjadi punca berlakunya projek sakit dan terbengkalai.

Menerusi Reformasi Perumahan MADANI, beberapa inisiatif diperkenalkan bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan akauntabiliti pemaju serta melindungi kepentingan pembeli rumah.

Menurut Nga Kor Ming, pendekatan kementerian bukan sekadar menyelesaikan masalah sedia ada, tetapi memastikan kelemahan sistem ditangani secara menyeluruh.

20261117 Afs 3398

“Pendekatan kita bukan sekadar menyelesaikan masalah yang telah berlaku, tetapi turut memastikan kelemahan sistem yang menjadi punca kepada permasalahan ini ditangani secara menyeluruh. 

“Justeru, KPKT memperkenalkan Reformasi Perumahan MADANI bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan akauntabiliti pemaju serta melindungi kepentingan pembeli rumah.”

Antara inisiatif utama reformasi tersebut termasuk cadangan penggubalan Akta Pembangunan Hartanah (Real Property Development Act – RPDA), pelaksanaan Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (Housing Integrated Management System – HIMS), platform maklumat perumahan TEDUH serta Perjanjian Jual Beli Elektronik (e-SPA).

KPKT turut memperkenalkan audit mandatori terhadap Akaun Pemajuan Perumahan (Housing Development Account – HDA) bagi memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan kawal selia.

Kesemua inisiatif ini bertujuan membolehkan tindakan intervensi awal dilaksanakan bagi mengelakkan sesuatu projek perumahan daripada bertukar menjadi projek sakit atau terbengkalai.

Sasaran Sifar Projek Perumahan Sakit Menjelang 2030

Usaha KPKT dalam menangani isu perumahan ini turut mendapat pengiktirafan apabila Nga Kor Ming menerima Anugerah Perkhidmatan Awam Cemerlang (Outstanding Public Service Award) sulung daripada The Edge Malaysia.

Pengiktirafan itu diberikan sebagai penghargaan terhadap kepimpinan dan komitmen beliau dalam menangani isu projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai di negara ini.

Melangkah ke hadapan, KPKT kekal komited untuk merealisasikan sasaran Sifar Projek Perumahan Sakit menjelang 2030, sekali gus memastikan kepentingan dan kebajikan pembeli rumah sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan perumahan negara.

Sumber: Siaraan Media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.