Bukan calang-calang! Pada usia 60 tahun, Ariffin Abdul Manan atau lebih dikenali sebagai pakcik Ariffin berjaya menamatkan cabaran IRONMAN 70.3 Langkawi 2026 meskipun hanya berbekalkan kelengkapan sukan asas.
Susulan kisah kejayaannya itu mencuri perhatian ramai, kerajaan Pahang yang terharu melihat semangat luar biasa beliau turut terpanggil untuk tampil menghulurkan bantuan.
Memetik sumber, kerajaan negeri menyatakan kesediaan untuk membantu menyediakan kelengkapan sukan buat lelaki berasal dari Jerantut itu bagi membolehkannya terus aktif dalam sukan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, bantuan itu mendapat persetujuan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak mahu Ariffin dibiarkan bersendirian, sebaliknya berharap kejayaan lelaki itu dapat dijadikan inspirasi dan ikon kepada golongan anak muda.
“Insya-Allah, sebab kita tengok dah jadi viral (tular) IRONMAN Langkawi 2026 penyertaan Pakcik Ariffin yang bersahaja dengan kelengkapan asas.
“Kerajaan Pahang dengan persetujuan Menteri Besar sedia bantu kelengkapan sukan supaya beliau tidak dibiarkan bersendirian dan jadi ikon kepada anak muda.
“Dalam serba kekurangan, beliau masih boleh terbabit aktif dan berjaya menghabiskan kejohanan itu,” katanya.
Artikel berkaitan: “You did it love!” – Panggilan ‘My Husband’ Bella Astillah Buat Syed Saddiq Di Garisan Penamat Ironman Curi Tumpuan Ramai
Artikel berkaitan: Pikul Basikal Sambil Redah Banjir, Atlet Ironman Langkawi Berdepan ‘Cabaran’ Baru
Untuk rekod, Ariffin berjaya menamatkan cabaran dengan catatan masa tujuh jam 19 minit 57 saat untuk menduduki tempat kesembilan daripada 14 peserta kategori lelaki berusia 60 hingga 64 tahun.
Dalam acara itu, beliau perlu mengharungi tiga disiplin sukan yang cukup mencabar iaitu berenang sejauh 1.9 kilometer (km), berbasikal sejauh 90km dan berlari sejauh 21.1km, menjadikan jarak keseluruhan perlumbaan sebanyak 113km.
Minat Ariffin terhadap aktiviti larian sebenarnya bermula kira-kira 20 tahun lalu apabila dia menjadikan sukan itu sebagai rutin ketika berusaha untuk berhenti merokok.
Sumber: Buletin TV3
