in

“Saya sakit sihir… tak ingat” – Kes Langgar Polis Trafik, Inspektor Hidap ‘Skizofrenia’ Dihadapkan Ke Mahkamah

Collage 15

Seorang pegawai polis berpangkat inspektor didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Kuala Lumpur hari ini atas lapan pertuduhan serius, termasuk cubaan membunuh anggota polis trafik dan memandu secara melulu.

Tertuduh, Muhammad Kamal Raj Shanmugam Abdullah, 40, menarik perhatian ramai apabila berkata, “Saya sakit ‘sihir’, saya tak ingat la,” sejurus selepas dihadapkan ke mahkamah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh yang dilaporkan menghidap skizofrenia dan masih bujang.

Didakwa Langgar Polis Trafik Guna Kereta

Whatsapp Image 2026 04 16 At 12.14.44 Pm

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan lapan pertuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis trafik dengan cara melanggar mangsa menggunakan sebuah kereta Perodua Axia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Lumpur pada jam 10.47 malam, 10 April lalu.

Kes tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Latar Belakang Kes

Fi Split White 4 720X420 1

Sebelum ini, seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang menghidap skizofrenia ditahan selepas dikejar polis dalam satu kejadian di sekitar ibu negara.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, suspek dipercayai merempuh seorang anggota trafik dari arah belakang pada malam Jumaat di Jalan Sultan Yahya Petra sebelum melarikan diri tanpa memberikan bantuan.

Anggota trafik terbabit dilaporkan mengalami kecederaan di kepala, tapak tangan kanan dan tulang rusuk, lalu menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Kenderaan suspek kemudian dikesan pada keesokan harinya sebelum polis melancarkan operasi mengejar bermula dari Jalan Cheras hingga ke kawasan Chan Sow Lin.

Ketika dikejar, suspek didakwa memandu secara berbahaya dan melanggar beberapa kenderaan lain termasuk kereta awam serta sebuah kereta peronda polis. Suspek akhirnya berjaya ditahan.

Setakat ini, tujuh laporan polis diterima membabitkan lima kenderaan awam, sebuah MPV polis dan sebuah motosikal, manakala rakaman kejadian turut tular di media sosial.

Sumber: Harian Metro, Berita Harian