Coklat Cadbury yang kini telah berusia 121 tahun bakal dilelong dengan nilai £100 hingga £150 iaitu sekitar RM586 hingga RM879 di United Kingdom.
Mesti anda tertanya-tanya dari mana datangnya coklat yang berusia ratusan tahun itu dan mengapa pemiliknya tidak makan sahaja coklat itu?
Rupa-rupanya, pada tahun 1902, coklat Cadbury itu telah diberikan kepada Mary Ann Blackmore, seorang kanak-kanak yang pada ketika itu berusia sembilan tahun di sekolahnya.
Coklat tersebut telah diberikan kepada kanak-kanak pada tahun itu bersempena dengan hari pertabalan Raja Edward VII dan Permaisuri Alexandra.
Walau bagaimanapun, Mary tidak memakan coklat yang diletakkan di dalam bekas tin tersebut, sebaliknya dia menyimpannya sebagai tanda kenang-kenangan.
Coklat Cadbury dalam bekas tin kecil itu telah diturunkan kepada keluarganya selepas dia meninggal sehinggalah ia sampai ke tangan cucunya, Jean Thompson, 72 tahun yang kemudiannya membawa coklat itu ke pusat jualan lelong di Derby, England untuk dilelong.
Staf pusat jualan lelong itu, Morven Fairlie mengatakan besar kemungkinan Mary ketika kecil enggan memakan coklat itu kerana pada zaman itu, coklat jarang diberikan kepada kanak-kanak.
Jadi, mungkin Mary menganggap coklat itu sebagai hadiah yang tidak ternilai yang membuatkan dia berasa sayang untuk memakannya.
Staf pusat lelongan itu juga menjangkakan coklat itu mungkin akan dibeli oleh peminat sejarah dan keluarga diraja memandangkan bahagian luar tin dihiasi dengan gambar raja dan permaisuri.
Walau bagaimanapun, coklat yang berusia ratusan tahun itu sudah melepasi tarikh luputnya, jadi tiada individu yang berani untuk memakannya.
Jika anda buka bekas coklat itu, anda dapat hidu bau coklat seperti coklat jenama lain, namun saya tak berani ambil risiko untuk makannya,” kata Morven Fairlie
Sumber: Sky News
Baca: Jadi Minuman Untuk Kanak-kanak Akibat The Great Depression, Ini Kisah Bagaimana Milo Tercipta