Disebabkan terdesak, seorang wanita memberikan bantuan pernafasan (CPR) secara mulut ke mulut untuk menyelamatkan nyawa ibunya yang positif wabak Covid-19.
Lapor Mirror, kejadian menyayat hati itu dilaporkan berlaku di sebuah hospital di utara Uttar Pradesh, India pada Sabtu lalu. Menerusi satu rakaman video, seorang wanita tua yang telah dijangkiti wabak itu terlantar di atas stretcher. Dua orang anak perempuannya berada disampingnya.
Menerusi klip yang sama, suara orang ramai juga dapat didengari merungut mengenai kekurangan tangki oksigen dan kekurangan staf hospital saat negara itu sedang berdepan dengan gelombang Covid-19.
Menurut AK Sahni yakni Pengetua Maharaj Suheldev Medical College, beliau mendakwa ahli keluarga wanita tua itu memberitahunya yang wanita tua terbabit sudah nazak.
Walau bagaimanapun, laporan lanjut mendedahkan wanita tua berkenaan disahkan telah meninggal dunia ketika pegawai perubatan menghampirinya untuk memberi rawatan.
Pun begitu, AK Sahni menafikan dakwaan kekurangan tangki oksigen di hospital terbabit.
“Anak kepada si mati memberikannya bantuan pernafasan secara mulut ke mulut ketika dia sedang beremosi,” katanya.
Sementara itu, pada Jumaat, India merekodkan 414,188 kes positif jangkitan Covid-19 dengan 3,915 kematian, lapor Astro Awani. Difahamkan, angka kematian di negara itu kekal lebih 3,000 semenjak 10 hari lalu.
Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia pula kini melepasi 156.31 juta kes. Amerika Syarikat dilaporkan masih kekal sebagai negara paling teruk terjejas akibat wabak terbabit.
Sumber: Mirror