in

Dari Terusan Zaman British Ke Tarikan Pelancongan, Karnival Ban Canal 2026 Kembali November Ini!

Lm Featured Image 900 X 550 Px 2160 X 1080 Px 51

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Kalau korang nak cari aktiviti menarik sambil menikmati keunikan alam semula jadi dan budaya tempatan, Sabak Bernam bakal menjadi salah satu destinasi yang boleh korang kunjungi November ini!

Menariknya, sebuah terusan bersejarah yang asalnya dibina untuk menyalurkan air ke kawasan sawah padi di Selangor kini semakin dikenali sebagai tarikan pelancongan berasaskan alam semula jadi, sukan dan budaya menerusi penganjuran Karnival Ban Canal 2026.


Karnival yang memasuki edisi keempat ini akan berlangsung dari 6 hingga 8 November 2026 di Ban Canal Parit 14, Simpang Lima, Sabak Bernam, Selangor, dengan tema Alam, Budaya, Lestari.

Bukan sekadar acara untuk berhibur, karnival ini turut membuka peluang kepada komuniti setempat untuk memperkenalkan produk tempatan dan menjana pendapatan melalui kehadiran pengunjung dari dalam serta luar negara.

Lebih 32,000 Pengunjung Hadir Tahun Lalu, Jana Pendapatan RM100,000

Sabda

Menurut Sabak Bernam Development Area (SABDA), Karnival Ban Canal bukanlah acara baharu yang dianjurkan tanpa sambutan.

Pada tahun 2025, festival ini berjaya menarik lebih 32,190 pengunjung dan menjana pendapatan perniagaan tempatan melebihi RM100,000.

Bagi edisi 2026, penganjur menyasarkan untuk meneruskan momentum tersebut dengan menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti di Sabak Bernam.

“Menerusi gabungan aktiviti pelancongan, kebudayaan, sukan dan keusahawanan, karnival ini menjadi platform untuk memperkenalkan keunikan kawasan luar bandar kepada orang ramai.”

Ada Larian Bendang, Pertandingan Memancing Dan Aktiviti Lasak

Kalau korang jenis yang suka aktiviti luar, Karnival Ban Canal 2026 turut menawarkan pelbagai pengalaman menarik yang menggabungkan sukan dan pengembaraan.

Antara aktiviti yang bakal berlangsung termasuk larian bendang, pertandingan memancing, sukan Kanu Slalom yang menampilkan peserta antarabangsa termasuk dari Jepun dan China, aktiviti memanjat dinding serta flying fox merentasi terusan bersejarah Ban Canal.

Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati persembahan tradisional, sesi Bual Bicara Malam Jumaat, makanan dan hasil keluaran tempatan serta pameran usahawan menerusi Platform Selangor (PLATS).

Tidak ketinggalan, Jualan Eko Tani dan hiburan pada setiap malam yang menampilkan artis-artis terkenal Malaysia turut memeriahkan suasana sepanjang karnival berlangsung.

Dengan pelbagai aktiviti ini, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati pengalaman berbeza, malah berpeluang mengenali budaya dan kehidupan masyarakat setempat dengan lebih dekat.

Dari Terusan Bersejarah Ke Destinasi Eko-Pelancongan

Untuk pengetahuan korang, Ban Canal merupakan terusan sepanjang kira-kira 30 kilometer yang dibina pada zaman British bagi menyalurkan air ke kawasan sawah padi di pedalaman Selangor.

Kini, kawasan bersejarah ini sedang diberi nafas baharu sebagai destinasi eko-pelancongan yang turut menyokong pembangunan perniagaan luar bandar dan komuniti setempat.

Ban Canal juga terletak dalam zon peralihan dan zon penampan bagi cadangan Rizab Biosfera Anjung Utara Selangor (AUSBR), iaitu kawasan seluas 297,661 hektar yang dicalonkan di bawah UNESCO.

Perubahan ini memperlihatkan bagaimana warisan sejarah dan khazanah alam semula jadi boleh dimanfaatkan untuk menarik pelancong serta mewujudkan peluang ekonomi baharu, tanpa mengabaikan identiti kawasan tersebut.

Karnival Ban Canal 2026 digerakkan dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor), Sabak Bernam Development Area (SABDA) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Jadi, kalau korang nak merasai sendiri gabungan aktiviti sukan, budaya, makanan tempatan dan keindahan kawasan luar bandar, bolehlah masukkan Karnival Ban Canal 2026 dalam senarai aktiviti korang pada November ini!

Sumber Berita: Siaran media Sabak Bernam Development Area (SABDA) & Facebook Majlis Daerah Sabak Bernam

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.