Semalam tragedi menimpa keluarga ni di mana anak perempuan mereka berusia tiga tahun maut jatuh dari tingkat 17 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, Petaling Jaya.
Mangsa ditinggalkan keseorangan di rumah sementara ibu bapa keluar beniaga manakala kakaknya berusia 14 tahun pulak keluar menghantar adik yang lain ke tadika.
Menurut Harian Metro, kakaknya itu, Siti Nur Natasha Hairul Anuar, 14, berkata dia tengah berjalan pulang ke rumah bila jiran memberitahu adik bongsunya, Siti Nur Nadhirah Hairul Anuar terjatuh.
“Pada mulanya, saya sangkakan adik terjatuh ketika bermain dan saya terus bergegas untuk pulang sebelum diberitahu adik sebenarnya jatuh dari tingkat 17.
“Saya terus tergamam kerana tidak sangka adik boleh panjat ke balkoni. Saya rasa macam tak percaya dengan apa yang berlaku.”
Selain itu, Siti Natasha turut memberitahu bahawa masa nak keluar, adiknya itu sedang tidur di ruang tamu dan pintu balkoni dah pun ditutup.
“Bangku plastik itu juga sepatutnya ada di balkoni.”
Sementara itu, ibu kanak-kanak berkenaan, Rozneen Hashim, 36, berkata dia reda dan menganggap perkara yang terjadi sebagai ketentuan Tuhan.
“Walaupun pahit, saya terima ini sebagai ketentuan Allah, saya tak mahu salahkan sesiapa.
“Sebahagian daripada diri saya masih terlalu sukar menerimanya, tapi saya reda.”
Difahamkan, mangsa kebiasaannya akan ikut mak ayahnya keluar berniaga, namun, pada hari kejadian, Rozneen dan suami tidak membawa Siti Nur Nadhirah bersama.
Rozneen dan suaminya, Hairul Anuar Kusnan, 45, serta lima anak mereka berusia antara lima hingga 15 tahun ditemani kira-kira 20 ahli keluarga berada di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) bagi proses bedah siasat yang dijalankan pada 2.30 petang semalam.
Dalam kejadian itu, Siti Nur Nadhirah dipercayai tergelincir ketika memanjat kerusi plastik di balkoni rumah yang tidak dipasang jeriji atas.
Jenazah Siti Nur Nadhirah disembahyangkan di Masjid Kota Damansara sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, Petaling Jaya.
Takziah kepada keluarga Siti Nur Nadhirah. Semoga mereka tabah hadapi dugaan ni.
Baca: “Kesian anak tak berdosa… Pengajaran pada semua ibu bapa”