Seorang anggota polis ditemui maut dipercayai akibat menembak diri sendiri di perkarangan Balai Polis Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam.
Kata Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, kejadian itu mula disedari oleh rakan sekerja mangsa di balai tersebut kira-kira jam 3.30 petang, lapor Buletin TV3.
“Mangsa berusia 51 tahun bertugas di balai polis sama dan dia ditemui meninggal dunia dengan tiga kesan tembakan.
“Kesan tembakan ditemui pada leher, dada serta kepala mangsa. Selain itu, pihak polis turut menemui sepucuk pistol bersama anggota berkenaan.”
Katanya, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Punca kejadian masih dalam siasatan polis. Mereka juga menasihatkan orang awam agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sehingga siasatan selesai.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat. Mangsa telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia kira-kira 30 tahun dan difahamkan meninggalkan seorang balu serta tiga orang anak.
Baca : Polis Siasat Perarakan Bawa Senjata, Timbulkan Kegusaran Dalam Kalangan Masyarakat Setempat